SHAH ALAM – Malaysia menjadikan Singapura sebagai mangsa kedua mereka dalam acara bola sepak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) apabila membenam pasukan jiran itu 2-1 di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.
Ia adalah kemenangan kedua berturut-turut diraih skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee selepas menundukkan Brunei dengan jaringan sama, Isnin lalu.
Bagaimanapun, ujian berbeza terpaksa dihadapi skuad negara pada perlawanan itu apabila terpaksa bertungkus lumus untuk bangkit daripada ketinggalan sebelum meraih tiga mata berharga.
Malaysia hanya berjaya melakukan percubaan tepat menerusi sepakan percuma Adam Nor Azlin pada minit ke-28, namun berjaya ditangkap kemas penjaga gol, Zhafran Rohaizad.
Sembilan minit kemudian, pintu gol Malaysia yang dikawal Haziq Nadzli bocor menerusi rembatan cantik Amiruldin Muhammad Nodin yang terkena tiang sebelum menerjah ke gawang.
Jaringan itu jelas menaikkan semangat pemain Singapura dan mereka hampir menambah jaringan pada minit ke-41, tetapi Malaysia bernasib baik apabila sepakan percuma Hami Syahin Said sekadar singgah di tiang gol.
Malaysia juga mendapat peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan pada masa tambahan babak pertama, bagaimanapun sepakan percuma Safawi Rasid dinafikan palang ketika Zhafran sudah tertewas.
Tindakan Kim Swee membawa masuk Nor Azam Abdul Azih pada babak kedua nyata berbaloi apabila pemain Pahang itu meledak gol penyamaan Malaysia pada minit ke-68 selepas rembatan derasnya dari luar kotak penalti menewaskan Zhafran.
Jaringan itu dilihat menjadi titik kebangkitan Malaysia dan skuad muda negara akhirnya berada di depan menerusi jaringan pemain gantian, N Thanabalan pada minit ke-74.
Singapura juga cuba bangkit memburu gol penyamaan pada penghujung babak pertama namun benteng Malaysia kebal bertahan hingga wisel penamat. – BH Online