SHAH ALAM – Myanmar menjadi pasukan pertama menempah slot ke separuh akhir acara bola sepak lelaki Sukan SEA ke-29 (KL2017) selepas membelasah Brunei 6-0 pada aksi ketiga kumpulan A di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, hari ini.
Myanmar kini mengumpul sembilan mata untuk selesa mengungguli saingan kumpulan A selepas mengharungi tiga perlawanan dengan aksi terakhir menentang Malaysia, Isnin ini.
Pada perlawanan hari ini, kehadiran ratusan penyokong setia skuad ‘The White Angels’ itu ternyata membakar semangat barisan pemain untuk mempamerkan aksi bertenaga dengan melancarkan serangan bertali arus ke kubu pertahanan Brunei sebaik permainan bermula.
Penyerang sensasi, Aung Thu membuka tirai jaringan pada minit ke-24, sekali gus merekodkan gol ketiga peribadinya dalam kempen KL2017 sebelum kapten pasukan, Si Thu Aung menyumbat gol kedua pada minit ke-40 untuk menjadikan kedudukan 2-0 pada separuh masa/
Bersambung babak kedua, hujan lebat tidak sedikit merencatkan aksi lincah skuad kendalian Gerd Zeise untuk terus menguasai permainan sebelum menjaringkan dua gol menerusi pemain gantian, Aung Kaung Mann pada minit ke-73 dan 84.
Ketika perlawanan seolah-olah berakhir dengan keputusan 4-0, Myanmar terus menambah derita Brunei apabila menjaringkan dua gol dalam masa kecederaan masing-masing menerusi Mg Mg Lwin dan Thang Paing.
Dalam pada itu, Singapura kembali menghidupkan peluang ke separuh akhir selepas melakar kemenangan sulung dengan menundukkan Laos 2-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
Mohamad Hanafi Mohd Akbar membuka tirai jaringan untuk skuad kendalian Richard Tardy seawal minit kedua perlawanan selepas menyambar hantaran silang daripada rakan sepasukan.
Penyerang, Ikhsan Fandi Ahmad memastikan tiga mata pertama untuk Singapura selepas menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-11 perlawanan.
Pengadil, Al Yaqoubi Omar Mubarak Mazaroui memberikan sepakan penalti kepada Singapura setelah Ikhsan dijatuhkan oleh pemain gantian Laos, Lounlasy Lathasay.
Singapura kini menduduki tangga ketiga kumpulan dengan tiga mata selepas tiga perlawanan sementara Malaysia di tangga kedua dengan enam mata dengan baki dua perlawanan. – BERNAMA