KUALA LUMPUR: Keputusan pengadil memberikan kemenangan mutlak kepada atlet Malaysia, Rozaimi Rozali sekali gus meraih pingat emas acara kyorugi lelaki bawah 68 kilogram (kg) bukanlah atas dasar kelebihan Malaysia selaku tuan rumah temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).
Perkara itu dijelaskan Pegawai Teknikal Antarabangsa Taekwondo, R Dhanaraj yang menyatakan pencabar Rozaimi dari Filipina, Arven Alcantara itu sebenarnya tidak lagi layak untuk meneruskan aksi memandangkan dia sudah melakukan 10 kesalahan pada perlawanan terbabit.
“Dalam undang-undang yang diperuntukkan, jika seseorang peserta melakukan 10 kesalahan (kyong-go) seperti jatuh, menarik lawan atau menggunakan bahagian badan yang lain selain daripada yang dibenarkan, peserta itu sudah lagi tidak layak untuk beraksi.
“Malah, dia sudah melakukan sembilan kesalahan dan kesalahan terakhirnya adalah apabila dia melarikan daripada gelanggang.
“Jadi atas dasar ini, pengadil memutuskan kemenangan mutlak adalah untuk peserta Malaysia dan itu adalah satu kemenangan yang sah.
“Tanpa mengira apa apa keadaan pun, sama ada jika peserta A sudah mendahului kedudukan, namun jika dia melakukan 10 kesalahan, dia tetap akan disingkirkan,” katanya ketika ditemui di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.
Aksi penentuan bagi pingat emas acara kyorugi lelaki bawah 68kg berlangsung penuh dramatik apabila pengadil memberikan kemenangan mutlak kepada Rozaimi meskipun kedudukan mata terikat 17-17.
Kemenangan itu menimbulkan rasa tidak puas hati Filipina kerana bingung mengenai situasi itu, namun Dhanaraj mengesahkan kontinjen Filipina tidak mahu melakukan protes terhadap keputusan itu.
“Kita sudah menyatakan kepada Filipina bahawa mereka boleh melakukan protes dan kita boleh memberi senarai 10 kesalahan yang sudah dilakukan atletnya itu sehingga dia tidak lagi layak untuk beraksi.
“Namun selepas jurulatihnya menerima penjelasan daripada pengadil, dia nampak berpuas hati dan akhirnya menerima keputusan yang dibuat pengadil,” katanya. – BH Online