SHAH ALAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor membongkar satu taktik memperdaya pengguna kononnya menawarkan potongan harga 70 peratus bagi pembelian set cadar dalam satu jualan murah di sebuah pasar raya terkemuka di Seri Kembangan dekat sini.
Ketua Pegawai Penguat kuasanya, Azman Adam berkata pemeriksaan ke atas aktiviti jualan murah itu dibuat Isnin lalu selepas pihaknya menerima aduan daripada pengguna mengenai harga set cadar yang mengelirukan.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan tersebut, pihaknya merampas 33 set cadar yang didapati mempunyai petunjuk harga palsu bernilai RM13,294.
“Pemeriksaan yang dijalankan mendapati set cadar yang dijual pada harga RM289 setiap satu mempunyai label potongan harga pada kadar 70 peratus yang menjadikan harga baharu set cadar tersebut berjumlah RM86.70.
“…tetapi, pada masa sama didapati ada tanda harga lain bagi set cadar jenama sama bernilai RM57.80 di pasar raya sama. Ini bermakna ada cubaan menaikkan harga dan menipu pengguna,” katanya dalam sidang media di pejabat KPDNKK Selangor di sini hari ini.
Bagaimanapun, Azman berkata tiada sebarang tangkapan dibuat ketika pemeriksaan itu dan siasatan akan dilengkapkan secepat mungkin kerana ia melibatkan kepentingan umum.
Dalam pada itu, beliau meminta pengguna supaya tidak mudah terpengaruh dengan harga jualan murah dan membuat perbandingan harga sebelum membeli sesuatu barang.
Katanya, pengusaha yang hendak mengadakan jualan murah juga perlu terlebih dahulu membuat pemberitahuan dan menghantarnya kepada kementerian itu, termasuk menyatakan harga yang ditawarkan menerusi jualan murah.
Menurut Azman, kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Perihal Dagangan 2011 atas kesalahan membuat sebarang petunjuk palsu atau mengelirukan, dengan apa-apa cara sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Jika sabit kesalahan, boleh didenda di bawah Seksyen 59 (Penalti Am) akta yang sama, iaitu RM10,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali bagi individu manakala denda RM25,000 bagi pertubuhan atau syarikat. – BERNAMA