PELAKON Hollywood, Kristen Stewart mendedahkan yang dia kini sudah bersedia membuka hati semula untuk bercinta dengan kaum Adam.
Kristen pernah berpacaran dengan hero gandingannya dalam siri filem Twilight, Robert Pattinson sebelum beralih arah apabila menjalin hubungan sejenis dengan model Stella Maxwell.
Dalam Harper Bazaar UK edisi terbaharu, Kristen memberitahu niatnya itu yang sukakan variasi dalam menjalinkan hubungan intim dengan lelaki dan perempuan.
Aktres berusia 27 tahun itu turut mendedahkan sebab mengapa dia berpisah dengan Robert, yang mana mereka digelar antara pasangan paling high profile di Hollywood pada ketika itu selain Beyonce-Jay-Z dan Angelina Jolie-Brad Pitt.
Kristen menyalahkan peminat dan orang luar merupakan punca utama hubungannya dengan Robert gagal, di sebalik kisah kecurangannya pada suatu ketika dahulu.
Tidak sukakan kehidupan penuh glamor dan menonjol menyebabkan Kristen tidak tahan dengan campur tangan orang luar sehingga menyebabkan hubungannya dengan Robert tidak dapat bertahan lama.
Kristan dan Robert mula bercinta pada 2008 namun berpisah empat tahun kemudian selepas aktres itu kantoi curang dengan pengarah filem Snow White and the Huntsman, Rupert Sanders. – MYNEWSHUB.CC