TEMASYA Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017) sudah pun secara rasminya dilancarkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, semalam.
Majlis pembukaan rasmi temasya dwitahunan itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis.
Seperti kebiasaannya dalam setiap temasya sukan pasti akan ada lagu-lagu berunsur motivasi bagi menaikkan semangat setiap atlet yang mengambil bahagian.
Untuk tahun ini lagu tema untuk KL2017 dilantun oleh penyanyi berbakat besar, Dayang Nurfaizah menerusi lagu Bangkit Bersama.
Bangkit Bersama merupakan hasil nukilan komposer terkenal, Datuk Ramli MS.
Selain itu, lagu Tunjuk Belang dendangan Monoloque, Azlan & The Typewriter dan Malique turut menjadi lagu tema kedua kejohanan tersebut.
Pastinya lagu-lagu mengandungi lirik-lirik positif ini akan membangkitkan lagi semangat dan keyakinan para atlet kita untuk berjuang agar dapat mencapai sasaran 111 pingat emas seperti yang diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
Selain lagu-lagu tema KL2017, sebenarnya ada lagi lagu-lagu yang sering membangkitkan semangat buat para atlet.
Siapa yang boleh lupa lagu nukilan Datuk Wah Idris yang dinyanyikan Ratu Rock negara Ella Aminuddin semasa temasya Sukan Komanwel 1998.
Standing In The Eyes Of The World ternyata mencipta fenomenanya sendiri malah sehingga ke hari ini lagu tersebut masih menjadi siulan di kalangan rakyat Malaysia lebih-lebih ketika temasya sukan sedang berlangsung.
Selain dendangan Ella, lagu Fikirkan Boleh nyanyian evergreen Allahyarham Sudirman juga termasuk dalam senarai lagu-lagu motivasi yang tak jemu-jemu didengar.
Lagu Gemuruh nyanyian Faizal Tahir dan Memori Tercipta Shila Amzah juga boleh dijadikan lagu-lagu pembangkit semangat buat kontinjen negara agar dapat mencipta kemenangan dalam temasya sukan yang melibatkan 11 buah negara di Asia Tenggara.
Good luck Malaysia! – MYNEWSHUB.CC