MAKKAH – Bilangan wanita Arab Saudi yang melepasi usia berumah tangga mencecah empat juta pada 2015 dan laporan terbaru menunjukkan jumlah itu semakin meningkat.
Ia antara isu paling membimbangkan dan menjadi kerisauan kepada banyak keluarga ketika memikirkan masa depan anak perempuan mereka.
Imam sebuah masjid di bandar Al-Ahsa, Dr. Ahmed Albo Ali berkata, jumlah wanita Saudi yang melepasi usia berumah tangga pada 2005 ialah 1.5 juta tetapi melonjak kepada empat juta pada 2015. Ini bermakna dua pertiga wanita Saudi berusia lebih 30 tahun gagal bertemu jodoh sepanjang 10 tahun lalu.
Aktivis sosial, Ahmed Al-Otafi berkata, keadaan berlaku kerana kebanyakan wanita negara itu kini lebih berminat melanjutkan pelajaran dan ada juga kerana keluarga masing-masing tidak membenarkan mereka berkahwin.
Dalam pada itu, wanita yang kematian suami atau mereka yang diceraikan juga semakin ramai.
Menurut Ahmed, balu dan janda jarang berpeluang berkahwin lagi dengan alasan utama, lelaki negara itu lebih suka memilih pasangan yang belum pernah berkahwin.
Pengarah Pembangunan Keluarga di bandar Al-Oyun, Muhammad Al-Saleem berkata, wanita yang sudah bercerai dipandang serong oleh masyarakat Saudi kerana kebanyakan mereka beranggapan wanita yang bersalah sekiranya sesebuah rumahtangga runtuh. – Agensi/myMetro Online