Thursday, November 28, 2024

Creating liberating content

Fathia Ada Bakat Jadi...

SIAPA sangka dalam kontroversi yang melanda diri pelakon Fathia Latiff, tersimpan satu bakat...

Pusat Pos Laju Baharu...

MELAKA - Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) akan membuka Pusat Pos Laju baharu...

Bayi Perempuan Baru Lahir...

MIRI - Seorang bayi perempuan yang dipercayai baru dilahirkan ditemui orang awam di...

Merdeka 118, Menara Kedua...

KUALA LUMPUR - Malaysia akan mencatat satu lagi rekod dunia apabila menara mega Merdeka 118 akan siap sepenuhnya pada suku ketiga tahun depan dengan ketinggian 700 meter dari paras laut.

Pan Borneo Sepatutnya Sudah Lama Dibangunkan

KUCHING – Pembangunan projek Lebuh Raya Pan Borneo sepatutnya dilaksanakan semasa pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad lagi, kata seorang aktivis sosial Wan Zain Syed Mohdzar.

Beliau berkata tiada siapa yang boleh menafikan kebaikan projek lebuh raya berjarak sekitar 2,000km itu dalam memacu pembangunan ekonomi penduduk di sekitar kawasan yang dilaluinya, malah ia sepatutnya dilaksanakan semasa kerajaan di bawah pentadbiran perdana menteri keempat itu lagi, iaitu antara tahun 1981 dan 2004.

Menurutnya selain menjadi akses jalan darat utama yang menghubungkan Sabah dan Sarawak, pastinya lebih banyak jalan raya sambungan akan dibina untuk melengkapkan hubungan antara kampung-kampung serta rumah-rumah panjang di pedalaman dengan lebuh raya mega ini, selaras dengan aspek ‘inklusif’ yang menjadi agenda utama kerajaan.

“Dengan adanya jalan-jalan yang menghubungkan kampung dan rumah panjang di pedalaman dengan Lebuh Raya Pan Borneo sudah pasti ia akan mengembangkan aktiviti ekonomi di kalangan masyarakat di luar bandar,” katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.

Lebuh raya bernilai sekitar RM29 bilion itu dibangunkan bagi menyediakan akses laluan darat selesa yang bermula dari penghujung barat daya Sarawak di Teluk Melano yang bersempadan dengan Indonesia, menghala ke timur laut melalui bandar-bandar utama Sarawak, dan melintasi negara Brunei Darussalam untuk berakhir di penghujung Sabah di pekan Serudong.

Walaupun lebuh raya ini sudah kedengaran di sana-sini sejak berpuluh tahun lamanya, namun ia diberi nafas baru oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan menyelitkan pembangunannya sebagai satu daripada manifesto pilihan raya umum ke-13, dan sebagaimana penekanan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa apabila Kerajaan BN berjanji: “Janji Ditepati”.

Wan Zain berkata pembinaan jalan pesisir pantai yang sedang giat dilaksanakan di negeri Sarawak akan turut menyumbang kepada tujuan yang sama, iaitu memudahkan perhubungan darat dan membuka peluang ekonomi dan perniagaan yang lebih luas untuk masyarakat di luar bandar.

Beliau percaya dengan siapnya pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo itu nanti, ia akan mengubah landskap di kawasan terlibat dengan pembukaan pusat komersial, kilang dan pusat pelancongan di sepanjang lebuh raya berkenaan, sebagaimana kata Perdana Menteri: lebuh raya yang menjadi pencetus perubahan kepada pembangunan di Sarawak.

Sementara itu, anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Datuk Harry Henry Jinep ketika ditemui Bernama berkata projek mega itu sangat penting dalam mewujudkan sistem perhubungan lebih cekap di Sabah dan Sarawak, seiring dengan komitmen kerajaan membawa kemajuan kepada rakyat di kedua-dua negeri di Kepulauan Borneo itu.


Katanya selain memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat tempatan di Sarawak dan Sabah, projek lebuh raya itu juga akan memberi peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor kepada rakyat tempatan.

Ketika ini pembangunan lebuh raya itu sedang gigih diusahakan di kedua-dua negeri dan selaras dengan pembangunannya yang berjalan lancar, ia dijangka siap menjelang tahun 2023 mengikut perancangan.

Beliau berkata lebuh raya itu akan membuka akses luas kepada lebih banyak kawasan dan menggalakkan mobiliti yang lebih pesat di samping meningkatkan sektor ekonomi seperti pembinaan dan pelancongan.

“Lebuh raya ini juga mampu meningkatkan integrasi perdagangan antarabangsa merentasi negara jiran seperti Brunei dan Kalimantan,” katanya.

Katanya ini membuktikan keupayaan kerajaan menepati janjinya kepada rakyat di Sabah dan Sarawak, terutama dalam konteks membawa pembangunan yang tentunya memberi manfaat bagi tempoh jangka panjang, khusus dari segi sosioekonomi.

“Inilah cara kerajaan mengubah nasib rakyat, menjadi lebih baik, mengubah landskap pembangunan menjadi lebih pesat, merubah kehidupan rakyat di Sabah dan Sarawak ke arah kebaikan dan merubah keadaan negeri Sabah dan Sarawak ke arah kemajuan,” katanya. – BERNAMA

Kategori