JITRA – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar 198.45 kilogram dadah jenis kanabis, awal Ogos lalu.
Muhammad Hariz Abdul Malek, 22 hanya mengangguk faham ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Kanan Mohd Hadi Hakimi Harun.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di lorong pemeriksaan kenderaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Bukit Kayu Hitam, pada 8.40 pagi, 9 Ogos lalu.
Dia dituduh mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama yang membawa hukuman gantung sampai mati.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aqharie Duranie Aziz manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mohd Hadi menetapkan 23 Okt ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia. – BERNAMA