PARIS – Seorang lelaki ditahan di Menara Eiffel selepas menghunus sebilah pisau di hadapan pelancong dengan tujuan membunuh seorang anggota tentera.
Menurut sumber, suspek yang berusia 18 tahun memiliki sejarah masalah psikologi dan ditahan lewat malam tadi di mercu tanda Paris itu selepas melanggar kawalan keselamatan.
Seorang sumber keselamatan berkata, suspek berjaya ditahan tanpa sebarang pergelutan oleh anggota tentera yang berkawal di situ.
“Ketika disoal siasat, suspek mengakui mahu melancarkan serangan ke atas anggota tentera dan sering berhubung rapat dengan seorang anggota militan Daesh yang menggalakkan dia melakukan perbuatan itu,” kata satu sumber lain.
Perancis sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga sejak November 2015 dan berhadapan dengan siri serangan ke atas pasukan keselamatan, khususnya di lokasi tumpuan pelancong.
Februari lalu, seorang lelaki bersenjatakan sebilah parang menyerang empat anggota tentera yang sedang berkawal di Muzium Louvre manakala pada April, seorang anggota militan menembak dan membunuh seorang anggota polis di Champ Elysees.
Pada Jun, seorang pelajar Doktor Falsafah berusia 40 tahun dari Algeria yang berikrar untuk setia kepada Daesh menyerang anggota polis dengan menggunakan tukul besi di luar gereja Notre Dame. – AFP/BH ONLINE