CYBERJAYA – Seorang lelaki tanpa pengenalan diri ditemui mati dalam keadaan berlumuran berdarah di tepi jalan berhampiran bangunan lot kedai di Persiaran Apec, Cyberjaya di sini hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang Supt Baharudin Mat Taib berkata mangsa ditemui oleh orang awam yang melalui kawasan terbabit dan kemudian menghubungi Balai Polis Cyberjaya.
“Pemeriksaan pada tubuh si mati juga tidak menjumpai apa-apa pengenalan diri dan pihak polis masih tidak dapat mengesahkan identitinya,” katanya.
Kes tersebut diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kes bunuh, katanya.
“Polis memohon orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai sebarang maklumat berkait kejadian tersebut supaya tampil membantu siasatan,” katanya.
Sebarang maklumat atau pertanyaan boleh berhubung terus dengan pegawai penyiasat ASP Megat Nazaruddin Megat Idris di talian 019-3883848 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang di talian 03-87774222. – BERNAMA