SEBULAN selepas vokalis kumpulan nu-metal Linkin Park (LP) iaitu Chester Bennington bunuh diri, ahli kumpulannya bercadang untuk mengadakan hari memperingati buat mendiang.
Menerusi Facebook rasmi kumpulan itu, LP mengumumkan tentang sebuah ‘acara khas’ yang terbuka untuk orang awam yang bakal berlangsung di Los Angeles.
Bagaimanapun, tiada sebarang butiran lanjut didedahkan setakat ini.
“Kami hanya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua peminat di seluruh dunia atas rasa cinta yang melimpah ruah, sekali gus menguatkan lagi semangat kami ketika berdepan waktu yang sangat sukar ini,” kata kumpulan itu.
Bennington yang dikenali menerusi vokal metal mantap digandingkan dengan sentuhan hip-hop bersama-sama Mike Shinoda sehingga mencetuskan kegilaan terhadap kumpulan itu pada awal abad ke-21 ditemui mati tergantung di rumahnya di Los Angeles pada 20 Julai lalu.
Difahamkan sepanjang hayatnya, pemuzik berusia 42 tahun itu bergelut dengan masalah dadah, alkohol dan trauma akibat penderaan seksual dan fizikal semasa zaman kanak-kanak.
Peminat di seluruh dunia menganjurkan berpuluh-puluh acara untuk memperingati Bennington selepas kematiannya; sesuatu yang cukup disokong oleh rakan-rakan seperjuangannya dalam LP. – MYNEWSHUB.CC