PENDANG – Masyarakat Siam di Kedah diingatkan agar terus menyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN) kerana parti itu telah banyak berjasa kepada masyarakat minoriti Siam sejak negara mencapai kemerdekaan.
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata kerajaan yang diterajui UMNO tidak sesekali melupakan masyarakat itu, malah pembelaan dan perhatian akan terus diberi tumpuan yang sewajarnya.
Katanya, peringatan itu penting memandangkan kini ada usaha daripada parti pembangkang untuk mempengaruhi pemikiran masyarakat Siam terutamanya menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang akan berlangsung tidak lama lagi.
“Sebelum ini pun pengundi Siam juga yang menjadi ahli UMNO dan menyokong parti kita dan kita akan beri tumpuan, bukan sahaja di Pendang malah saya yakin masyarakat Siam di tempat lain akan bersama-sama UMNO untuk mempertahankan parti keramat ini walaupun ada usaha pembangkang untuk mempengaruhi mereka demi mendapatkan sokongan,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan UMNO bahagian Pendang di Kompleks UMNO Bukit Mat Inson, di sini, hari ini. Turut hadir Anggota Parlimen Pendang Datuk Othman Abdul; Ketua UMNO Bahagian Datuk Md Rozai Shafian; Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang Datuk Suraya Yaacob serta barisan kepimpinan UMNO bahagian Pendang.
Ahmad Bashah berkata parti pembangkang sudah mula memasuki kampung-kampung dengan menabur janji-janji kosong agar kaum itu beralih menyokong pembangkang, tetapi beliau yakin masyarakat Siam tidak mudah terpengaruh dan setia bersama BN.
“Saya yakin mereka (masyarakat Siam) tak akan percaya janj-janji yang dibuat parti pembangkang kerana mereka tahu selama ini pun segala pembangunan di kawasan kampung dibangunkan oleh kerajaan BN. Depa (pembangkang) boleh masuk tetapi saya percaya masyarakat Siam bijak menilai dan tidak mudah terpengaruh dengan mereka,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri mengharapkan seluruh masyarakat Siam terus memberikan sokongan yang padu kepada UMNO dan BN pada PRU-14 akan datang bagi memastikan kaum itu terus mendapat pembelaan dan perhatian kerajaan.
Sementara itu, beliau berkata rakyat Pendang tidak perlu bimbang kerana Hospital Pendang yang dijanjikan oleh kerajaan BN akan dibina awal tahun depan.
“Hospital Pendang dengan kos RM220 juta dah diluluskan kerajaan pusat, cuma sekarang ini dalam proses nak tender dan dijangka akan selesai selewat-lewatnya hujung tahun ini, apabila selesai projek pembinaan boleh dilaksanakan demi memenuhi keperluan rakyat,” katanya.
Hospital Pendang akan dilengkapi 250 katil dengan 11 kepakaran antaranya perubatan, pediatrik, pembedahan, ortopedik, kecemasan dan trauma, patologi serta radiologi dan apabila siap penduduk Pendang tidak lagi terlalu bergantung kepada Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk mendapatkan rawatan.
Terdahulu dalam ucapan beliau, Ahmad Bashah menggesa semua anggota UMNO sentiasa bersiap sedia menghadapi PRU-14 dan menyelesaikan masalah yang berkait rapat dengan parti agar tidak menjejaskan gerak kerja pilihan raya. – BERNAMA