KUALA LUMPUR – Para penggemar raja buah, durian, mula berpusu-pusu ke McDonald’s setelah restoran makanan segera itu melancarkan aiskrim McFlurry Durian D24 di seluruh Malaysia.
Pencuci mulut yang dilancarkan semalam itu hanya dijual pada harga RM7.99 dan ia mengandungi isi buah durian jenis istimewa D24, menurut maklumat yang tertera pada menu restoran popular tersebut.
Ramai netizen tempatan khasnya penulis blog makanan dilaporkan sudahpun mencuba aiskrim tersebut pada hari pelancarannya dan memberikan cap jempol atau amat suka dalam ulasan mereka.
Malah sebaik McDonald’s memaklumkan penjualan aiskrim ini pada 22 Ogos lalu menerusi akaun Facebook rasmi, ia sudah menerima reaksi positif lebih 886,000 tontonan dan 2,600 perkongsian.
McDonald’s dalam kenyataannya menyatakan hidangan itu sudah dijual di Sabah dan Sarawak mulai 21 Ogos lalu sebagai previu snek sebelum diperluaskan ke Semenanjung hingga 2o September.
Selain itu, menu restoran tersebut turut menawarkan menu edisi terhad pencuci mulut lain sempena Bulan Merdeka termasuk Kon Gemilang – iaitu aiskrim berperisa jagung – dan Pai Pulut Hitam.
Pada bulan lalu, McDonald’s Singapura pernah melancarkan beberapa makanan unik yang diilhamkan daripada hidangan tempatan, termasuk burger Nasi Lemak dan aiskrim McFlurry Chendol.
Manakala awal bulan ini McDonald’s Brunei menjadikan menu popular tempatan, cakoi yang asalnya hanya promosi tetapi kini dipilih sebagai hidangan tetap sarapan pagi.Ā – Agensi/Mynewshub.cc/HAA