WANITA pertama Amerika Syarikat, Melania Trump, telah dikecam ramai selepas memakai kasut tumit tinggi untuk melawat mangsa banjir di Texas.
Penampilan isteri kepada presiden Donald Trump itu sangat tidak sesuai berbanding suaminya memakai kasut but untuk melawat kawasan yang dilanda banjir susulan taufan Harvey.
Melihat kepada keadaan itu, ramai yang membidas Melania kerana tidak sensitif dengan keadaan semasa.
“Melihat kepada kasut yang dipakainya itu, mungkin beliau tidak sedar akan krisis yang berlaku sekarang.
“Ia (kasut) begitu tinggi dan mungkin beliau memakainya untuk mengelak banjir dan kita pula kelihatan seperti orang pelik kerana menjadikan ia sebagai sesuatu yang besar,” demikian antara sindiran yang diterima oleh Melania.
Bukan sahaja orang ramai malah media di sana turut memperkatakan mengenainya.
Taufan Harvey yang membadai Jumaat lalu adalah yang terkuat melanda Texas dalam masa 50 tahun dan meragut beberapa nyawa.
Susulan itu, seramai lebih 50,000 orang diarahkan meninggalkan Fort Bend County, yang terletak kira-kira 55 kilometer ke barat daya Houston selepas Sungai Brazos hampir melimpah. – MYNEWSHUB.CC