PELAKON Atikah Suhaime memberitahu dia pernah mengunjungi pusat hiburan yang menyediakan khidmat pegawai perhubungan pelanggan (GRO) untuk melihat dan menyelami dunia tersebut.
Malah dia ke pusat hiburan seperti itu bukan untuk untuk bersuka-ria ataupun menjadi seperti wanita tersebut tetapi hanya mahu menjiwai wataknya dalam filem Pencuri Hati Mr Cinderella.
“Memang saya pergi ke pusat hiburan yang menyediakan layanan GRO. Tetapi saya bukan pergi untuk berseronok seperti yang disangkakan.
“Saya mahu menyelami dunia mereka dan ingin mengetahui bagaimana mereka membawa diri dengan pekerjaan tersebut.
“Bila saya dah lihat sendiri, barulah boleh menjiwai watak Ameera yang merupakan seorang GRO dalam filem terbaru saya,” katanya kepada mStar Online.
Tambahnya, bukan semua wanita yang memilih untuk menjadi GRO mempunyai sejarah hitam dalam kehidupan malah ada yang sengaja memilih pekerjaan tersebut kerana faktor kewangan.
“Bukan semua wanita yang menjadi GRO ini disebabkan pernah melalui sejarah hitam atau latar keluarga yang tidak baik.
“Ada sengaja memilih cara hidup seperti itu kerana mereka dapat segera memperoleh duit yang banyak dengan mudah.
“Bukan mereka tidur bersama atau mengadakan hubungan intim pelanggan, tetapi mereka hanya melayan kerenah dan menerima bayaran atas layanan tersebut,” katanya. – MYNEWSHUB.CC