SHAH ALAM – Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berbangga dengan pemain bola sepak negara walaupun kalah dengan Thailand malam semalam.
Tengku Mahkota Johor (TMJ) itu malahan berkenan untuk bertemu sendiri dengan semua pemain di bilik persalinan dan bersalaman dengan mereka di Stadium Shah Alam di sini.
“Saya ada dua emosi satu kecewa dengan kekalahan dan satu lagi bangga dengan kamu semua (pemain) kamu adalah aset akan datang. Tidak ada seorang pun daripada kamu memalukan negara,” titah baginda.
Menurut TMJ dalam rakaman video rasmi Facebook FAM dimuat naik pukul 11.44 malam tadi, kesemua pemain muda negara itu sudah berkorban untuk negara dan mengucapkan terima kasih kepada semua.
Video ekslusif TMJ berkenaan turut menerima sambutan hangat ramai netizen tempatan apabila meraih 49,000 tanda suka selain hampir 25,000 kali dikongsi dan lebih 2,500 komen.
Namun, baginda mahu mereka menjadikan kekalahan tersebut sebagai pengajaran dan senjata untuk memperbaiki lagi mutu persembahan perlawanan antarabangsa Malaysia pada masa depan.
Sebelum itu, pada masa rehat separuh waktu pertama, TMJ juga turun ke bilik persalinan untuk memberi kata-kata semangat kepada setiap pemain selepas ketinggalan 0-1 kepada pasukan Thailand.
Pasukan Harimau Muda bagaimanapun tewas kepada skuad Gajah Perang dalam aksi akhir Sukan SEA Ke-29 sekali gus mengulangi skrip sama ketika temasya serupa pada 2001 lalu. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA