PENYANYI rock, Mus May masih tidak dapat mengingati beberapa peristiwa lalu selepas hampir sepuluh hari berada dalam keadaan koma akibat jangkitan kuman dalam darah.
Mus sebelum ini dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat demam panas berpanjangan dan dipindahkan ke Hospital Ampang selepas koma bagi mendapatkan rawatan susulan.
Penyanyi Rock Mus May Koma Di ICU
Walau bagaimanapun, penyanyi tersebut sudah beransur sihat dan boleh melakukan kerja-kerja harian walaupun ingatannya masih terbatas.
“Alhamdulillah kesihatan saya makin pulih. Saya mampu bergerak dan melakukan aktiviti harian cuma ingatan saya sedikit terbatas dan tidak mampu mengingati semua perkara.
“Saya perlukan sedikit masa dalam proses pemulihan ingatan dan ia mungkin kesan kerana ubat yang diambil sepanjang rawatan dijalankan,” katanya kepada mStar Online.
Minggu lalu, Mus telah dibenarkan pulang tetapi dimasukkan semula ke hospital kerana mengalami gastrik dan dijangka akan pulang ke rumahnya pada bila-bila masa sahaja.
“Kalau semuanya stabil, saya akan dibenarkan pulang dan hanya perlu menjalani rawatan seminggu sekali bagi memastikan tahap darah saya kembali normal seperti biasa,” katanya lagi. -MYNEWSHUB.CC