JOHOR BAHRU – Peruntukan untuk Projek Sungai Segget di Jalan Wong Ah Fook di sini dikeluarkan oleh kerajaan persekutuan, justeru adalah mustahil bagi Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) mengenakan caj perundingan sebanyak RM20 juta atau 30 peratus.
Ketua Jabatan Projek dan Pengurusan Program IRDA, Mohd Zam Mustaman berkata IRDA hanya bertindak sebagai badan pelaksana dan segala perbelanjaan dikawal sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan.
“Jadi, terdapat banyak prosedur dan polisi yang perlu kita patuhi dalam menjalankan apa jua urusan termasuk dalam urusan pemberian tender.
“Sekarang ini, apa yang IRDA akan lakukan ialah membuat penyenaraian tender dahulu, barulah kita boleh membuat anggaran sebenar kos projek ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan taklimat bersama media mengenai Fasa 3 Projek Sungai Segget di Pejabat IRDA di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Anggota Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed mengenai kos perundingan kerja-kerja landskap Projek Sungai Segget yang dikatakan terlalu tinggi atau tidak munasabah iaitu RM20 juta daripada nilai pembangunan keseluruhan RM57 juta.
Mengenai isu kontraktor pula, beliau berkata IRDA sememangnya memberikan keutamaan kepada kontraktor dan konsultan tempatan untuk terlibat dalam projek berkenaan kerana ia satu daripada syarat yang telah ditetapkan oleh prosedur dan polisi.
Dalam pada itu, Ketua Jabatan Perancangan dan Pematuhan IRDA Maimunah Jaffar berkata Fasa 3 Projek Sungai Segget adalah berkaitan kerja-kerja landskap yang kini berada pada peringkat reka bentuk yang diharap dapat dimuktamadkan sebelum akhir tahun ini.
“Kita berharap perkara ini dapat diselesaikan secepat yang mungkin untuk kita mulakan kerja-kerja pembinaan yang mana kita akan buat tender secara terbuka,” jelasnya.
Pembangunan semula Sungai Segget merupakan antara rancangan di bawah Pelan Transformasi Johor Bahru membabitkan kerja-kerja pembersihan dan pembinaan sistem tebatan banjir.
Projek yang bermula pada 2013 itu turut merangkumi loji rawatan kumbahan (STP) yang berfungsi membersihkan air yang memasuki Sungai Segget sebelum dialirkan semula.
Projek itu menerima peruntukan sebanyak RM280 juta daripada kerajaan pusat yang mana Fasa 1 dan 2 membabitkan kos RM240 juta yang akan memperlihat reka bentuk, aturan, aliran bandar dan warganya serta lalu lintas yang berpaksikan kepada pengindahan Sungai Segget. – BERNAMA