PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menerima sumbangan 793 ekor lembu korban daripada 16 syarikat korporat untuk sambutan Aidiladha tahun ini.
Ia disampaikan dalam satu majlis akad penyerahan oleh wakil syarikat berkenaan di Perdana Putra, di sini.
Daripada jumlah itu, 458 ekor lembu akan diagihkan kepada masjid dan surau di kawasan Parlimen Pekan manakala selebihnya akan disumbangkan kepada kawasan-kawasan lain.
Syarikat yang menyumbang ialah Sapura Holdings Sdn. Bhd., JL99 Group, Naza Corporation Holdings Sdn. Bhd., Maju Holdings Sdn. Bhd., GIG Technology Holdings Sdn. Bhd., Roadcare (M) Sdn. Bhd., Ahmad Zaki Resources Berhad dan Bumi Borneo Highway Sdn. Bhd.
Turut menyampaikan sumbangan ialah Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd., Zetro Aerospace Corporation Sdn. Bhd., Wekajaya Sdn. Bhd., AJ Aeroservices Sdn. Bhd., S.N. Akmida Holdings Sdn. Bhd., DRB-HICOM Berhad, Heitech Padu Berhad dan Icah Sdn. Bhd.
Umat Islam di negara ini dijangka menyambut Aidiladha pada 1 September ini. – BERNAMA