BEKAS peserta Malaysian Idol dan penyanyi, Nita Hamzah berkata dia dan tunang, Mohd. Fareez Shamsul Bahari, 29, diberikan tempoh selewat-lewatnya setahun untuk menaiki pelamin.
Meskipun begitu, mereka berdua belum menetapkan tarikh bagi melangsungkan majlis perkahwinan.
Nita, 37, dan Fareez selamat ditunangkan semalam di kediaman keluarga artis tinggi lampai berkenaan di Selayang, Selangor. Majlis secara kecil-kecilan itu dihadiri kira-kira 100 tetamu.
“Sehingga kini, kami belum ada sebarang tarikh yang tepat untuk majlis kahwin. Cuma, masing-masing sepakat memberikan tempoh enam bulan hingga setahun untuk saya dan Fareez disatukan sebagai suami isteri.
“Kalau boleh, kami sendiri mahu menyegerakan perkara yang baik. Jika boleh, memang kami hendak disatukan tahun ini dan kalau tidak dapat berbuat demikian, mungkin awal 2018. Kita hanya mampu merancang,” katanya dipetik BH Online.Â
Berkongsi perasaan selepas bergelar tunangan orang, Nita akui beliau bagaikan tidak percaya dirinya kini hampir menjadi milik mutlak buah hatinya itu.
“Walaupun baru bertunang, ia tetap satu perasaan yang saya tidak pernah bayangkan. Saya bersyukur kerana inilah permulaan buat kami menuju ke fasa lebih bermakna, yakni membina masjid. Insya-Allah,” katanya yang sudah menjalinkan hubungan cinta selama empat tahun bersama pemuda itu.
Mengenai dunia seni, Nita kini dalam perancangan untuk mempromosikan single duet bersama pelakon, Nadzmi Adhwa, berjudul Hadirlah Cinta. Lagu berkenaan adalah hasil ciptaan Sharon Paul, manakala liriknya tulisan Iman Imran.
“Single itu sebenarnya sudah pun siap sebelum bulan puasa lagi. Namun, rasanya tidak sesuai untuk kami mempromosikan lagu itu pada Ramadan dan musim Aidilfitri.
“Saya sendiri sedang mengintai syarikat muzik yang berminat untuk menyokong usaha mempromosikan lagu terbabit,” katanya. –Â MYNEWSHUB.CC