KUALA LUMPUR – “Go go go go go go go Malaysia go!…Walau menang atau kalah kita bang kit bersama.”
Sorakan itu antara yang jelas kedengaran di venue Sukan SEA ke-29, ketika penyokong melihat aksi dipamerkan atlet kesayangan mereka pada temasya yang sedang rancak berlangsung ketika ini.
Bunyi ‘stick balloon’ berserta sorakan yang bergema di segenap ruang venue itu bukan saja menggamatkan suasana Sukan SEA kali ini, malah ia secara tidak langsung mampu membantu atlet untuk menampilkan aksi terbaik mereka ketika sedang beraksi demi mengejar pingat yang diidamkan.
Gelagat pasukan sorak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), kelolaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu ternyata mencuri tumpuan penyokong ketika mereka disajikan aksi atlet atau pasukan bertanding di gelanggang.
Pengarah Cawangan Pembangunan Ekonomi Bahagian Pembangunan Belia KBS, Azura Abidin berkata, penubuhan pasukan sorak itu bertujuan meniup semangat kontinjen negara yang sedang berjuang untuk merealisasikan impian 111 pingat emas pada temasya kali ini.
Pasukan sorak hasil cetusan idea Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar itu terdiri daripada 2,100 peserta, merangkumi pelajar sekolah dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) sekitar Lembah Klang selain pasukan Majlis Sukan Negara, TM Team Malaysia dan Famemas Malaysia.
“Saya cukup kagum dengan semangat dipamerkan pasukan sorak ini yang mencetuskan keghairahan terhadap penyokong untuk bangkit bersama menyemarakkan lagi semangat kepada atlet kita,” katanya kepada Bernama.
Katanya, kementerian menerima sambutan cukup menggalakkan daripada sekolah dan juga IPT terbabit ketika mereka membuat gerakan untuk menarik pelajar terbabit sama dalam memeriahkan lagi temasya sukan terbesar di Asia Tenggara itu.
Beliau berkata, pencarian peserta dilakukan sejak awal tahun melalui jemputan yang diedarkan kepada pihak terbabit, termasuk sekolah dan IPT selain melaksanakan dua siri latihan yang dibantu kira-kira 30 tenaga pengajar sebelum Sukan SEA berlangsung.
“Gema sorakan pasukan ini tidak akan terhenti pada Sukan SEA ke-29 saja kerana kami akan meneruskan sokongan pada Sukan Para ASEAN ke-9 bulan depan,” tambahnya.
Azura berkata, pihaknya turut menyediakan pasukan sorak untuk menyokong atlet dan kontinjen negara lain jika ada permintaan untuk berbuat demikian.
Sementara itu, Muhammad Rasydan Ayob, 21, menyifatkan penyertaannya dalam pasukan sorak Sukan SEA kali ini sebagai peluang sekali seumur hidup yang tidak harus dilepaskan untuk turut sama merasai debaran menonton dan memberi sokongan padu kepada atlet negara.
“Inilah peluang terbaik bagi saya untuk menyumbang sesuatu kepada atlet kita di laman sendiri kerana tahun ini Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA dan kita tidak tahu bila lagi negara akan kembali menjadi hos.
“Jika atlet atau pasukan yang disorak ketika itu meraih emas, perasaannya cukup teruja kerana menjadi sebahagian daripada penyokong yang menyaksikan detik manis itu di depan mata,” kata penuntut jurusan kejuruteraan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu.
Seorang lagi penuntut UIA, Umie Azwa Wan Mohd Zaid, 23, berkata, pengalaman menyertai pasukan sorak itu sangat berharga dan menyeronokkan kerana dapat menaikkan semangat atlet negara di hadapan penyokong sendiri.
“Saya sangat bertuah kerana terpilih menyertai pasukan ini dan sangat gembira dapat tonton serta sokong atlet kita secara ‘live’ kerana sebelum ini hanya mampu menyokong dari rumah saja,” kata pelajar tahun akhir jurusan seni bina landskap itu.
Sukan SEA ke-29 bermula secara rasmi hari ini sehingga 30 Ogos membabitkan penyertaan 11 negara Asia Tenggara, namun pertandingan acara sukan telah bermula sejak Isnin lalu.
Sukan Para ASEAN ke-9 pula berlangsung pada 17 hingga 23 September. – BERNAMA