SEPANG – Dua orang pelajar dan seorang guru dari Terengganu akan mewakili negara ke Program Ekspedisi Pendidikan Ke Wilayah Artik di bawah program ‘Students On Ice 2017’ mulai esok hingga 23 Ogos.
Mereka ialah Rosbella Batrisyia Mohd Salleh, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahmud dan Yusof Akmal Mohamad Rajihan, 16, dari SMK Dato Razali Ismail yang akan berlepas ke Ottawa, Kanada dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam ini.
Turut menyertai mereka ialah Fathen Suriati Jusoh, guru SMK Chukai, Kemaman.
Mereka bertiga melayakkan diri ke kutub utara selepas melepasi beberapa saringan dan pemilihan yang dikendalikan Yayasan Pendidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) pada bulan Mei selama dua minggu.
Berucap pada majlis pelepasan mereka di sini, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Datuk Seri Dr Mohd Azhar Yahaya berkata program tahunan yang dilaksanakan kementerian melalui Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) itu bertujuan memupuk minat pelajar dalam bidang sains.
Katanya ia sekali gus dapat melahirkan lebih ramai penyelidik yang dapat membantu perkembangan sains dalam negara.
“Ekspedisi ini dapat mewujudkan kefahaman mengenai isu perubahan iklim di artik dan impak besar kepada Malaysia yang dikelilingi lautan walaupun kita berada 10,000 kilometer jaunya,” katanya.
Program itu akan memberi pendedahan kepada peserta berkaitan persekitaran artik dan hubung kait dengan budaya penduduknya.
Menurutnya, para peserta akan tiba di Ottawa sebelum dibawa menaiki kapal laut dari Kangerlussuaq, Greenland untuk menerokai wilayah artik bersama-sama lebih 100 pelajar sekolah menengah dari seluruh dunia dan staf sokongan.
Sementara itu, ketiga-tiga peserta melahirkan tanda terima kasih kepada kerajaan Terengganu, Mosti dan YPASM kerana memberi peluang mengharumkan nama negara di persada dunia.
Rosbella Batrisyia berkata dia melepasi saringan pertama dengan membuat karangan dalam bahasa Inggeris sebelum dipanggil temuduga di Kuala Terengganu bersama hampir 200 pelajar lain mewakili pelbagai sekolah.
“Selepas lulus temuduga, saya bersama 56 pelajar yang terpilih untuk saringan peringkat dipanggil menjalani sesi pemilihan seterusnya di Scout in Resort, Kuala Terengganu.
“Pada peringkat ini saya perlu membuat karangan dalam Bahasa Inggeris bertajuk Harapan untuk Artik selain mengadakan debat Bahasa Inggeris dengan tajuk Mengapa Malaysia Perlu Teruskan Kajian di Artik,” katanya. – BERNAMA