BAGAN DATUK – Sekumpulan pelajar dari Korea Selatan memuji usaha kerajaan Malaysia mewujudkan Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) yang mendedahkan rakyat kepada perkembangan teknologi maklumat terkini.
Jioun Lee, 22; Munjung Kang, 23; Eunyoung Kyung, 21 dan Mingyung Song, 22 yang merupakan penuntut jurusan Sains Komputer di Universiti Wanita Duksung, berada di sini bagi menyertai Program Sukarelawan Antarabangsa Teknologi Maklumat dan Komunikasi Antarabangsa VII.
Mengulas mengenai PI1M, Jion berkata idea itu bagus kerana memberi peluang kepada penduduk luar bandar untuk menggunakan komputer dan Internet serta mengenali perisian-perisian asas komputer.
“Program sebegini akan meningkatkan pengetahuan teknologi maklumat (ICT) rakyat Malaysia,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.
Program yang dilaksanakan di Kampung Simpang Empat, Rungkup sejak 11 Julai lalu hingga hari ini, dianjurkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Agensi Persatuan Maklumat Kebangsaan Korea Selatan dan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa.
Jioun juga berkata pengalaman berharga yang diraih bersama penduduk kampung sejak sebulan lalu akan kekal tersemat di ingatan mereka.
Menerusi program itu, mereka bukan sahaja berpeluang berkongsi pengetahuan tentang teknologi maklumat tetapi juga mempelajari budaya tempatan, katanya.
“Kami memperoleh pengalaman indah, berjumpa dengan ramai orang Melayu dan kami juga mengajar ICT dan budaya Korea kepada pelajar selain belajar bahasa tempatan.
“Kami juga sempat mempelajari lagu kebangsaan Malaysia,” katanya.
Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Rungkup, Nur Arfah Azhar, 15, berasa sangat bertuah dapat mempelajari ICT dengan lebih mendalam sepanjang program tersebut.
“Memang kami tahu mengguna komputer tapi dengan adanya kakak-kakak Korea ini kami dapat belajar lebih seperti aplikasi ‘Movie Maker’, ‘Easy Scratch’, ‘Photoshop’ dan lain-lain.
“Malah kami juga dapat mempelajari belajar bahasa Korea. Kami ke pusat ini setiap Rabu dan Khamis dari pukul 4 hingga 6 petang,” katanya. – BERNAMA