PELAKON Haliza Misbun berasa kesal dengan ‘kebanjiran’ pelakon baru yang hanya menggunakan nilai komersil tetapi tidak mempunyai ilmu lakonan yang cukup untuk menarik emosi penonton.
Haliza juga meminta semua pelakon baru supaya menimba ilmu lakonan agar tidak menyusahkan mana-mana pihak dan bukan hanya mengejar populariti semata-mata.
“Ingin saya ingatkan disini, saya merayu agar semua pelakon baru tolong timba ilmu lakonan sebab saya sendiri dah letih berdepan dengan pelakon yang tidak bersedia di set.
“Jangan hanya menggunakan populariti dan jumlah pengikut yang ramai di media sosial sedangkan ilmu lakonan kosong,” katanya kepada mStar Online.
Bukan itu sahaja, Haliza juga meminta kerjasama dari stesen-stesen televisyen agar memainkan peranan untuk memilih pelakon dan tidak mementingkan nilai komersil semata-mata.
Menurutnya, dia pernah ‘digam’ oleh sebuah stesen televisyen kerana menegur perkara tersebut tetapi dia akan terus bersuara asalkan tegurannya mampu memberikan impak positif kepada industri lakonan.
“Saya sering tekankan kepada pelakon baru selain perlu berilmu dalam bidang lakonan, mereka juga perlu jujur dan betulkan niat untuk memberi sesuatu mesej kepada masyarakat dengan penghayatan yang mendalam.
“Ambil masa paling kurang tiga tahun (diploma) di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara), kutip ilmu dan insya Allah akan berjaya sebagai seorang pelakon yang dihormati,” katanya. – MYNEWSHUB.CC