Saturday, October 26, 2024

Creating liberating content

Tiga Remaja Didakwa Culik...

JOHOR BAHRU - Tiga remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada...

Hari 6: Tiba-Tiba Anwar...

Masuk hari keenam perbicaraan rayuan kes Liwat II Datuk Seri Anwar Ibrahim, suasana...

11 Wajah-Wajah ‘Plastic Surgery’...

ORANG kata bersyukurlah dengan apa yang telah dikurniakan kepada kita.Tapi macam biasalah pasti...

Dua SUV Baharu Haval...

SHANGHAI - Go Auto Group of Companies (Go Auto) merancang untuk membawa masuk...

Pemimpin Negara Hargai Sambutan ‘Luar Biasa’

KUALA LUMPUR – “Sambutan yang sangat luar biasa.” Itulah antara kata-kata pemimpin kanan negara bagi menggambarkan sajian persembahan dan sokongan rakyat Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan 2017 di Dataran Merdeka di sini, hari ini.

Disaksikan lebih 500,000 pengunjung yang membanjiri Dataran Merdeka dan kawasan sekitarnya sambutan bertemakan ’Negaraku Sehati Sejiwa’ memperlihatkan dataran bersejarah itu dihidupkan dengan suasana 31 Ogos 1957, seperti ketika sambutan ini di Stadium Merdeka semasa pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Pemimpin yang ditemui selepas berakhir sambutan rasmi peringkat kebangsaan itu berkata persembahan tahun ini berjaya menghidupkan semangat Merdeka selain jelas mempamerkan pelbagai transformasi yang dilalui negara sejak 1957 hingga kini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata kelainan yang dibawa pada persembahan kali ini berkesan untuk memberi kesedaran dalam kalangan rakyat untuk terus menghargai keamanan negara.

“Alhamdulillah, sambutan berjalan lancar, (dalam) kita raikan hari kemerdekaan yang ke-60.

“Penting bagi kita untuk melihat perkembangan perjalanan negara ini sejak ia ditubuhkan dan kita telah mempamerkan apa yang kita lalui dan juga masa hadapan termasuk transformasi negara yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya kepada pemberita pada akhir sambutan itu.

Selain kehadiran kenamaan dan pemimpin negara, sambutan bermakna itu turut diserikan Sultan Muhammad V yang berangkat hadir buat julung kalinya selepas ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada tahun ini.

Salleh berkata persembahan rapi yang diatur selama tiga jam itu diyakini mampu memberi kesan kepada jiwa rakyat Malaysia untuk mencintai tanahair.

“Penting juga untuk membuat satu kelainan bagi memberi kesedaran kepada rakyat tentang betapa susah payahnya kita memerdekakan negara ini dan untuk kita mempertahankan negara ini serta bersatu padu tidak kira bangsa dan agama,” tambahnya.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin pula berkata garapan persembahan yang dibuat pada sambutan kali ini selari dengan usia matang negara.

“Melalui persembahan serta perarakan pada hari ini dapat memberikan kesedaran kepada golongan muda untuk menghargai perjuangan kemerdekaan tokoh terdahulu,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong pula menyifatkan sambutan kali ini padat dengan pelbagai cerita sejarah yang terbaik dalam mengenang dan menghargai kejayaan pejuang negara terdahulu.

“Sambutan kali ini meningkatkan lagi semangat patriotik kita. (Negara) Dah 60 tahun, jangan ambil mudah, ini adalah satu hasil perjuangan bersama sejak dulu sampai hari ini,” katanya.

Menteri Belia dan Sukan (KBS), Khairy Jamaluddin pula ringkas berkata: “Hari Kebangsaan yang ke-60 yang gilang-gemilang, mood rakyat terbaik, Alhamdulillah,”.

Timbalan Menteri KBS, Datuk M. Saravanan pula berkata sambutan hari ini adalah kegembiraan berganda bagi rakyat Malaysia selepas atlet negara mencipta kejayaan membanggakan apabila muncul juara pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang berakhir semalam dengan pungutan 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa.

“Kita lihat dari segi penganjuran, penyertaan amat membanggakan. Saya percaya semangat hari ini akan berterusan,” katanya. – BERNAMA

Kategori