JOHOR BAHRU – Pemohon Skim Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) diminta mengemas kini data pendaftaran permohonan sama ada secara manual atau dalam talian bagi memastikan tidak tercicir daripada peluang untuk memiliki rumah yang ditawarkan kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Md Jais Sarday berkata ini bagi menyelaraskan semula data-data pemohon yang terdapat dalam simpanan bahagian perumahan pejabat Setiausaha Kerajaan Johor.
Menurut beliau, bagi permohonan menggunakan borang secara manual, tempoh tamat bagi setiap permohonan adalah selama lima tahun manakala permohonan dalam talian sah hanya dalam tempoh setahun.
“Sekiranya permohonan melepasi tempoh sah dan tidak dikemas kini, kita mungkin ingat pemohon sudah memiliki rumah ataupun tidak lagi berminat untuk memiliki rumah,” katanya kepada pemberrta selepas majlis penyerahan kunci RMMJ Taman Perbadanan Islam (TPI) Datin Halimah dan majlis cabutan undi PKJ A TPI Stulang Baru.
Buat masa ini, permohonan untuk memiliki RMMJ adalah sebanyak 170,000.
Terdahulu, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyampaikan replika kunci kepada sebilangan mereka yang bertuah dari pada 71 orang yang berjaya memiliki unit RMMJ di TPI Datin Halimah.
Pemilik yang bertuah cuma membayar harga rumah RM139,000 berbanding kos pembinaan melangkaui RM200,000 seunit, dengan baki kos diserap kerajaan negeri. – BERNAMA