USAHA yang tidak mengenal erti putus asa akhirnya membuahkan hasil buat Siti Zalina Ahmad selepas pernah berjaya meraih pingat emas pertamanya sejak Sukan SEA 1999 di Brunei.
Bezanya pada kali ini pula menerusi kategori berpasukan wanita bersama gandingannya, Auni Fathiah Kamis. 18 tahun lalu, dia mengutip emas menerusi acara individu wanita namun sejak itu, dia gagal mengulangi skrip sama.
Bagaimanapun, ternyata percaturannya bersama Auni berjaya membolot emas kategori berpasukan wanita setelah menewaskan Brunei yang diwakili oleh Dayang Nurul Nabilah Pengiran Md. Salleh dan Esmawandy Brahim 17-10.
“Beraksi di laman sendiri, kami menggunakan peluang untuk memperkuatkan setiap acara boling padang. Sebab itu saya diletakkan dalam acara regu. Ia telah membuahkan hasil selepas semua atlet berjaya mara ke final.
“Saya sangat bersyukur kerana berjaya meraih kemenangan ini. Sasaran utama kami adalah empat emas. Kejayaan ini merupakan satu bonus buat kami dalam usaha membantu Malaysia menjadi juara keseluruhan,” kata Siti Zalina.
Dalam pada itu Auni berkata: “Saya sangat bersyukur berjaya raih kejayaan emas dalam penampilan pertama. Saya telah bergandingan dengan Siti Zarina agak lama. Saya sangat bersyukur kerana strategi kami membuahkan hasil.”
Manakal pingat gangsa menjadi milik Filipina selepas Asuncion Bruce dan Ainie Knight berjaya menumbangkan cabaran wakil dari Thailand 13-11. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA