MELAKA – Perasaan penduduk Kampung Bukit Berlian di Klebang sentiasa resah apabila hujan turun berterusan kerana kemungkinan akan berlaku banjir.
Seorang guru Nabilah Mat Zin, 38, berkata sejak berpindah ke kampung itu tiga tahun lepas, beliau sentiasa merasa bimbang kerana air akan naik begitu cepat sehingga mudah mengakibatkan banjir.
Ibu kepada lima orang cahaya mata ini berkata mereka sekeluarga menghadapi musibah banjir saban tahun yang turut menjejaskan persekolahan anak-anaknya dan waktu bekerja mereka suami isteri.
“Turut terasa penat kerana setiap kali selepas banjir, kami kena membersihkan rumah. Sehubungan itu saya berharap agar kerajaan negeri mengambil tindakan segera bagi memastikan kejadian seperti ini tidak berulang di kampung kami. Penduduk penat hadapi banjir setiap tahun,” katanya kepada Bernama.
Hujan yang turun sejak pagi semalam menyebabkan 46 penduduk daripada lima keluarga di kampung itu dipindahkan, namun air dilapor surut tengah hari tadi.
“Ini kali pertama kami diarahkan berpindah kerana tahun-tahun sebelum ini kami sekeluarga menumpang di rumah ibu mertua saya sehingga air surut,” kata Nabilah.
Seorang peniaga Suriani Abdul Rahman, 43, berkata tahun ini banjir semakin kerap berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.
“Air naik sikit-sikit tapi kerap berlaku hingga banjir. Kami dah tak larat nak mengemas kerana kerap berlaku banjir,.
“Saya berharap kerajaan negeri dan agensi yang berkaitan bersama-sama berganding bahu dalam menyelesaikan masalah ini,” katanya di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Rambai.
Pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Tanjung,
Muhammad Shafiq Shafiee berkata banjir sedikit sebanyak menjejaskan persediaannya menghadapi Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).
“Buku sekolah saya rosak akibat terkena air banjir. Saya bimbang tidak dapat mengulang kaji sedangkan PT3 sudah semakin hampir.
“Saya hari ini tidak dapat ke sekolah kerana berada di pusat pemindahan,” katanya. – BERNAMA