PBB meningkatkan amaran keselamatan mengenai nasib umat Islam di Rakhine semalam. Selain pergerakan luar biasa tentera Myanmar ke wilayah itu, amaran turut diberikan kepada 300 petugas kemanusiaan.
Amaran dikeluarkan kepada petugas PBB berikutan sentimen yang mengaitkan misi kemanusiaan di Rakhine menyokong militan Rohingya.
Menurut Reuters, sentimen itu disebarkan sebagai usaha menimbulkan ketegangan antara penduduk Buddha dan petugas PBB.
Notis PBB turut menyebut kemungkinan berlaku kekacauan awam dan bantahan di pejabat-pejabat agensi bantuan di Rakhine.
Selain isu anti petugas PBB, Myanmar juga dikatakan akan melaksanakan frasa perintah berkurung baharu. Tindakan itu bagi membolehkan lebih banyak tentera memasuki Rakhine.
Wakil Khas PBB, Yanghee Lee mengkritik tindakan itu sebagai sengaja mencetuskan ketegangan terbaru di wilayah bergolak yang menyaksikan pertempuran antara penduduk majoriti Buddha dan tentera dengan minoriti Islam Rohingya.
“Myanmar membuat keputusan menghantar lebih ramai tentera ke Rakhine minggu ini dan pasti berlaku ‘masalah besar’,” kata Yanghee.
PBB memberi amaran agar kerajaan Myanmar memastikan tentera menghormati hak asasi manusia ketika menjalankan operasi.
Akhbar Global New Light of Myanmar hari ini melaporkan, kerajaan meningkatkan operasi ‘pembersihan’ di kawasan pergunungan May Yu yang dipercayai menjadi kubu militan Rohingya.
“Kerajaan bakal melakukan perancangan baharu bagi meningkatkan kawalan keselamatan dengan menempatkan lebih ramai anggota tentera di kawasan bergolak dan perintah berkurung hanya akan dilaksanakan di beberapa buah kawasan terjejas.
“Tindakan itu bertujuan mengelakkan kumpulan militan Rohingya bergerak aktif di sekitar pergunungan May Yu,” lapor akhbar tersebut.
Peningkatan kawalan keselamatan di Rakhine dilakukan selepas berpuluh-puluh penduduk kampung di negeri itu dibunuh dan diculik oleh kumpulan pembunuh bertopeng.
Myanmar menuduh kesemua tindakan keganasan dan pembunuhan itu dilakukan oleh kumpulan militan Rohingya yang menolak dakwaan membunuh penduduk awam. – MYNEWSHUB.CC