KUALA TERENGGANU – Selepas mengharungi empat perlawanan tanpa sebarang kemenangan dalam kempen Piala Malaysia, pasukan T-Team bangkit menebus kekecewaan itu dengan mencatatkan kemenangan sulungnya menentang Negeri Sembilan, malam tadi.
Kemenangan 4-1 itu juga menghidupkan kembali peluang skuad The Titans bagi melangkah keperingkat seterusnya dalam saingan mendapatkan piala itu.
Pengendalinya Rahmad Darmawan bagaimana pun berkata anak didiknya masih menunjukkan sikap gemuruh pada awal pertama babak permainan.
Katanya namun sikap itu berjaya diatasi pada babak kedua permainan dan moral pemain juga semakin memuncak untuk terus menghasilkan jaringan.
“Kita berjaya menjaringkan dua gol pada separuh masa pertama namun mereka masih gagal mengawal permainan sehingga mencetuskan kesalahan sehingga pasukan lawan dihadiahkan sepakan penalti.
“Saya selalu mengingatkan pemain perlawanan ini penting dan sebaik bersambung kita lihat perubahan pemain dapat bermain dengan lebih tenang,” katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.
Dalam saingan Kumpulan A, pasukan T-Team mengejutkan Negeri Sembilan, yang menduduki tangga kedua dalam kumpulan, dengan kemenangan 4-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
Pasukan tuan rumah menguasai perlawanan separuh masa pertama apabila Mohd Asrol Ibrahim @ Abdullah memulakan jaringan pada minit ke-24 dan diikuti Wan Mohd Amirzafran Wan Nadris pada minit ke-39.
Pasukan pelawat memperolehi peluang keemasan selepas dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke 34 namun tendangan Mohamad Izzuddin Zainuddin berjaya diselamatkan penjaga gol tuan rumah Mohd Hafidz Romly.
Selepas rehat, mereka terus menambah derita Negeri Sembilan dengan dua gol hasil jaringan Dilshod Sharofetdinov dan Muhammad Fakhrurazi Musa masing-masing pada minit ke-49 dan ke-80 manakala Negeri Sembilan memperolehi gol sagu hati menerusi Muhammad Nizam Mohd Ruslan pada minit ke-78.
Rahmad dalam pada itu berkata corak permainan yang ditonjolkan anak buahnya semalam juga lebih pantas sekali gus dapat mengurangkan kesalahan-kesalahan mudah.
“Tahniah kepada para pemain dan kita harap kemenangan ini terus menaikkan moral pemain dalam misi memburu kemenangan,” katanya. – BERNAMA