TAWAU – Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau menahan seorang lelaki warga emas yang membawa 15 tong gas memasak bernilai RM2,250 di dalam botnya, di kawasan perairan di pelabuhan Tawau.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah , ACP Mohd Yazib Abd Aziz berkata lelaki berusia 71 tahun dan beralamat di Pulau Sebatik itu ditahan empat anggota bot ronda PGR 2 yang dalam tugas Ops Paradise kira-kira pukul 11 pagi.
“Suspek yang juga juragan ditahan selepas gagal menunjukkan lesen perniagaan serta lesen kawalan dari pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan untuk barang kawalan yang dibawa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, juragan, serta barangan rampasan termasuk bot laju dan tong gas yang bernilai keseluruhan RM30,250 dikawal iring ke Pangkalan PPM Tawau untuk siasatan lanjut di bawah kesalahan bersabit Akta Kawalan Bekalan 1961. -BERNAMA