JASIN – Ketika orang lain nyenyak tidur dibuai mimpi, L. Selah (wanita) seorang ibu tunggal berusia 47 tahun bangun seawal pukul 4.00 pagi untuk bersiap melaksanakan tugasnya.
Menyarung baju T berwarna biru, seluar hitam dan kasut, wanita itu bersama penyapu, plastik dan penyodok sampah cekal menjalankan tugas sebagai tukang sapu di Program Perumahan Rakyat (PPR) Tehel, Bemban di sini.
Walaupun hanya menerima gaji RM1,000 sebulan, Selah tetap ceria dan penuh semangat melaksanakan tugasnya kerana baginya itulah jalan yang paling sesuai untuk dirinya membalas jasa kerajaan yang memberinya peluang untuk memiliki rumah di PPR itu.
“Waktu kerja pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang, tetapi biasanya ada kelonggaran. Jadi saya lebih suka mulakan menyapu sampah di PPR Tehel ini seawal 5.00 pagi kerana cuaca sejuk, lengang, selesa dan tidak banyak gangguan.
“Saya sangat bersyukur kerana hasrat untuk memiliki rumah sendiri akhirnya tercapai. Berbaloi kerana dapat menyewa pada harga RM250 sebulan sebelum boleh miliki rumah itu kerana pada zaman sekarang sewa rumah agak tinggi,” katanya yang menetap di tingkat dua PPR itu kepada Bernama.
RUMAH IDAMAN
Ibu tunggal kepada tiga orang anak itu adalah antara 10 penerima kunci rumah PPR Tehel dengan subsidi yang disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 21 April lepas.
PPR adalah antara usaha kerajaan Persekutuan sejak 2001 di bawah Rancangan Malaysia Kelapan (RMK8) bagi membantu merealisasikan hasrat rakyat di negara ini terutama yang berpendapatan 40 peratus terendah atau B40 untuk memiliki rumah sendiri.
Setiap unit rumah di PPR Tehel bernilai RM160,000 di pasaran tetapi disewakan kepada yang layak dalam tempoh sehingga lima tahun dengan kadar RM200 sebulan dan RM50 pula sebagai caj pengurusan, sebelum dijual kepada mereka dengan harga RM35,000 sahaja.
Selah yang kematian suami akibat kemalangan jalan raya pada empat tahun lepas, sebelum ini menetap di Taman Bemban Baru, di sini dengan kadar sewa RM250 sebulan dan berpindah ke PPR Tehel pada 28 Mei lepas.
“PPR Tehel sangat bermakna bagi saya kerana ketika suami masih ada dia sentiasa berusaha dengan keras bagi memiliki rumah idaman untuk keluarga walaupun kerja pemandu jentera JCV dengan gaji harian RM60,” katanya sambil mengelap peluh di dahi.
Wanita ini, yang akan penerima bantuan kebajikan sebanyak RM200 sebulan itu berkata pada masa sama Anggota Dewan Undangan Negeri Bemban Datuk Ng Choon Koon turut membantu dan menggalakkan keluarganya untuk memohon rumah berkenaan.
Meskipun mendiang suaminya tidak sempat untuk bersama-sama menikmati impian yang tercapai, namun beliau sangat berterima kasih kepada kerajaan kerana dia sekeluarga berpeluang mempunyai kediaman sendiri sebagai aset pada masa hadapan.
HIDUP LEBIH SELESA
PPR Tehel, yang mempunyai 500 unit rumah selain dilengkapi pelbagai kemudahan asas termasuk dewan serbaguna, gelanggang futsal, surau dan taman permainan, dibina dengan kos RM80 juta dan siap pada 1 Jan lepas.
Sementara itu, seorang penghuni rumah program itu yang hanya mahu dikenali sebagai Aminah, 46, berkata kini beliau sekeluarga boleh menjalani kehidupan yang lebih baik dan selesa di kediaman mereka sendiri setelah lebih 10 tahun menyewa.
“Saya sangat gembira apabila dimaklumkan oleh Lembaga Perumahan Melaka bahawa permohonan suami saya untuk menyewa di PPR Tehel telah diluluskan. Walaupun syarat dikenakan sehingga lima tahun yang penting ianya adalah rumah sendiri,” kata ibu kepada empat anak ini.
Wanita itu bersama suaminya yang juga orang kurang upaya (OKU) cacat fizikal iaitu tanpa tangan kanan akibat terputus disebabkan masuk dalam mesin kira-kira 19 tahun lepas kini menetap di tingkat satu PPR Tehel berkenaan.
Menurut suri rumah itu, keluarganya sebelum ini menetap di taman perumahan di sekitar Selandar dengan kadar sewa RM230 sebulan dan suaminya bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah klinik di sini dengan hanya berpendapatan kira-kira RM900 sebulan.
Bagi seorang lagi penghuni di tingkat satu PPR Tehel, Chin Mee Ling (she), 41, menyifatkan kerajaan Barisan Nasional berjiwa rakyat kerana sentiasa memberi bantuan dan sokongan kepada mana-mana pihak yang memerlukan.
“Saya seronok kerana rumah ini luas dan ada tiga bilik. Dengan adanya program perumahan seperti ini membuktikan kerajaan prihatin terhadap rakyat yang mengalami kesusahan hidup. Saya hanya bekerja sebagai tukang cuci, mana mampu memiliki rumah mahal,” katanya.
Beliau bersama suaminya yang bekerja sebagai kelindan lori dengan berpendapatan RM40 sehari, juga seorang OKU cacat fizikal baharu sahaja berpindah ke perumahan berkenaan pada Ahad lepas. (23 April)
BANTU RAKYAT
Bagi seorang penghuni di tingkat tiga PPR Tehel, Raffiyudin Salim, 38, program perumahan yang disediakan oleh kerajaan ini sememangnya amat membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki rumah yang menjadi impian semua masyarakat.
Beliau, yang juga seorang pemandu lori dengan berpendapatan RM1,500 sebulan berkata, kadar sewa juga amat berpatutan jika mahu dibandingkan dengan sewa di luar dan rumah baharu seperti ini mungkin tidak dapat disewa dengan kadar tersebut jika di tempat lain.
“Kerajaan patut menyediakan lebih banyak rumah seperti ini dengan menguar-uarkan pakej-pakej menarik bagi membantu lebih ramai masyarakat terutamanya golongan pertengahan seperti kami memiliki rumah,” kata bapa kepada dua anak itu.
Sehingga kini, terdapat lima projek PPR kerajaan Persekutuan yang telah dan sedang dilaksanakan di Melaka dengan tiga PPR sudah disiapkan iaitu PPR Sungai Putat yang mengandungi 336 unit, PPR Tehel (500 unit) dan PPR Krubong (600 unit).
PPR Klebang yang mempunyai 255 unit kini dalam pembinaan manakala PPR Tangga Batu (160 unit) masih dalam peringkat perancangan. – BERNAMA