PUTRAJAYA – Sindiket pemalsuan dokumen untuk warga asing terbesar di Malaysia lumpuh ekoran penahanan profesor warga Bangladesh dan orang kanannya semalam, serta pembongkaran makmal memproses pelbagai dokumen palsu mereka di sebuah premis kediaman di Ampang, Selangor.
Profesor berkenaan ditahan pasukan Imigresen Kuala Lumpur setelah diumpan untuk bertemu, yang kemudiannya membawa ke sebuah premis kediaman di Ampang dan di situ, seorang pembantu lelaki warga Bangladesh ditahan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, pemeriksaan terhadap premis kediaman itu menemui pelbagai dokumen palsu termasuk 229 pelekat pelbagai jenis Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), Pas Penggajian, Pas Pelajar serta Pas Lawatan Sosial, 23 pelekat Visa Malaysia, 196 kad CIDB, 15 E-kad, enam i-Kad dan 13 pasport Bangladesh.
Beliau berkata, modus operandi suspek adalah menggunakan aplikasi VIBER dengan pelanggan hanya perlu menghantar salinan pasport dan gambar melalui aplikasi tersebut.
“Kami anggarkan setiap dokumen dijual antara RM1,000 ke RM4,000 atau lebih mengikut jenis kesulitan dokumen yang ingin dihasilkan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Menurutnya, kedua-dua warga asing berumur dalam 30-an itu dipercayai masuk ke Malaysia menggunakan pas PLKS bagi bekerja sebagai buruh di sektor pembinaan pada 2008 namun disyaki menjalankan aktiviti haram terbabit sejak setahun lalu dengan mengaut keuntungan sehingga RM50,000 ke RM70,000 sebulan.
Turut dirampas dari makmal berkenaan, empat unit mesin pencetak, dua unit mesin pengimbas, satu unit alat pencetak kad, satu set komputer, tiga unit komputer riba, 13 cap palsu Kedutaan Bangladesh, 28 set laminating film, 16 kulit pasport Bangladesh, satu unit penebuk pelekat, 1,400 kad kosong (belum dicetak), satu unit penebuk kertas dan wang tunai berjumlah RM11,480 yang disimpan di dalam sebuah bilik.
Mustafar berkata dengan menggunakan peralatan yang dimiliki, profesor terbabit mampu menghasilkan satu E-Kad palsu dengan hanya mengambil masa sepantas lima minit dan membuat dokumen yang lebih rumit seperti pasport palsu kurang daripada dua jam.
“Setelah dokumen tersebut siap, serahan akan dilakukan oleh pembantunya yang berperanan sebagai kurier dengan kebiasaannya serahan dibuat di stesen LRT sekitar Selangor dan Kuala Lumpur dengan pelanggannya terdiri daripada warga Bangladesh, Myanmar, Nepal, India dan Indonesia.
“Kedua-dua lelaki itu kini direman dan akan didakwa di bawah Seksyen 56(1)(I) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12(1)(a) Akta Pasport yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Mustafar berkata, pihaknya juga sedang mengkaji kemungkinan terdapat individu lain turut terlibat dalam kegiatan tersebut termasuk rangkaian di luar negara selain memburu sindiket lain yang turut menjalankan aktiviti haram yang sama.
Dalam pada itu, beliau menegaskan selain pemilikan E-Kad palsu, pihak Imigresen juga akan menahan warga asing yang memiliki E-Kad tetapi tidak bekerja mengikut alamat yang ditetapkan di kad mereka.
“Beberapa kes telah dikesan seperti di Kelantan, E-Kad yang disemak adalah beralamat di Kuala Lumpur tetapi bekerja di Kota Bharu ini antara punca kepada lambakan pekerja di satu-satu sektor, ini juga satu kesalahan,” katanya. – BERNAMA