PUTRAJAYA – Mesyuarat Kumpulan Fokus Bajet 2018 hari ini mengusulkan agar program latihan kemahiran untuk golongan muda daripada isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan pertengahan (M40) perlu berfokus berdasarkan minat dan kebolehan mereka.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz berkata perkara itu antara cadangan yang dibentangkan bagi menangani keperluan kedua-dua golongan terbabit.
Katanya pemilihan pelatih ke dalam program latihan kemahiran perlu dijalankan mengikut segmentasi golongan muda terutamanya bagi mereka yang tercicir dari sekolah sama ada di bandar atau luar bandar dan tidak dijalankan secara umum.
“Pemilihan pelatih tidak boleh dibuat hanya untuk memenuhi sasaran institusi contohnya 2,000 orang, tetapi pelatih yang mereka ambil tidak sesuai dengan minat dan kecenderungan mereka.
“Jika tidak, nanti apabila dia keluar dia tidak teruskan bidang itu. Ini perlu dilakukan supaya perbelanjaan yang kita keluarkan berbaloi,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat itu di sini.
Mengambil contoh program latihan yang dijalankan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Othman berkata kedua-dua agensi itu menjalankan program latihan bagi mereka yang berminat dalam industri padi dan getah.
“Katakanlah anak muda itu berminat untuk meneruskan legasi keluarga dalam bidang itu, kita beri ilmu kepada mereka untuk meningkatkan kemahiran. Maksudnya, kita tangani mereka yang tercicir ini mengikut sektor,” katanya.
Beliau berkata ketika ini terdapat lebih lapan juta isi rumah di bawah kedua-dua kategori tersebut dengan 2.7 juta daripadanya adalah golongan B40 manakala selebihnya M40.
Ditanya mengenai isu menangani kos sara hidup, beliau berkata mesyuarat membincangkan kaedah menangani keperluan dan kemahuan mereka terutamanya dari segi keberkesanan penyampaian program-program bantuan kerajaan.
“Mungkin sistem penyampaian kita tidak menepati sasaran, jadi kaedah (penyampaian bantuan) perlu diubah supaya bantuan sampai kepada segmen yang tepat dan indeks prestasi utama (KPI) bukan lagi berdasarkan bilangan bantuan yang dikeluarkan sahaja,” katanya.
Kumpulan B40 merujuk kepada isi rumah berpendapatan bulanan bawah RM3,860 manakala M40 adalah kumpulan isi rumah berpendapatan bulanan RM3,860 hingga RM8,319. – BERNAMA