GEORGE TOWN – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail hari ini melawat Rumah Orang Tua Uzur Pulau Pinang sempena penganjuran Bengkel Ke Arah Pembinaan Jati Diri Yang Cemerlang oleh Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis.
Baginda diiringi Raja Puan Muda Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Ketibaan baginda berdua disambut Presiden Rumah Orang Tua Uzur Pulau Pinang Datuk Chan Ban Eng, petugas dan penghuni rumah itu.
Dalam titah ucapan, baginda mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pihak rumah orang tua itu atas usaha murni yang dihulurkan selama ini.
Ia merupakan satu usaha mulia yang patut kita sama-sama contohi dan hayati. Kita perlu sedar bahawa kesejahteraan sosial dan pembangunan yang dinikmati oleh rakyat Malaysia hari ini adalah hasil titik peluh dan usaha gigih generasi terdahulu yang kini menjadi warga,emas,” titah baginda.
Baginda bertitah Malaysia merupakan antara negara yang sedang pesat membangun dari segi ekonomi, dan politik.
“Pembangunan ini sekali gus meningkatkan taraf hidup rakyat. Ia seharusnya selari dengan keperluan dan kebajikan masyarakat termasuklah golongan warga emas.
Justeru pelbagai langkah boleh diambil bagi memastikan kebajikan golongan ini sentiasa dijaga dan pihak kerajaan dan badan bukan kerajaan seharusnya memberi mereka lebih banyak insentif dalam menjalani kehidupan harian,” titah baginda.
Baginda turut menyeru generasi muda hari ini supaya menyayangi dan menghormati warga emas dan membantu mereka dalam kehidupan seharian.
Rumah itu mempunyai 198 penghuni warga emas berusia 60 hingga 97 tahun.
Rumah Orang Tua Uzur Pulau Pinang yang dibiayai syarikat korporat, orang perseorangan serta geran daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu memberi perlindungan kepada warga emas yang tidak mempunyai tempat tinggal atau keluarga. – BERNAMA