KUALA LUMPUR – Rapid Bus Sdn. Bhd. hari ini melancarkan program Kad Identiti Kapten Bas sebagai satu inisiatif untuk meningkatkan lagi keyakinan orang ramai menggunakan perkhidmatan bas Rapid.
Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Mohd. Azam Omar berkata kad identiti itu akan memaparkan muka kapten bas dan namanya di setiap pintu utama bas bermula esok.
Katanya dengan memperagakan identiti kapten-kapten bas yang mengendalikan perkhidmatan itu, ia dapat merapatkan hubungan para kapten dengan penumpangnya sekali gus mewujudkan suasana harmoni di dalam bas.
“Hari ini, kita mengambil satu langkah kecil daripada banyak lagi siri inisiatif yang akan Rapid Bus adakan dalam usaha kami untuk meningkatkan lagi prestasi perkhidmatan khususnya dalam mengeratkan lagi persefahaman dengan para pelanggan.
“Kami amat berharap program ini akan memberi impak yang positif dalam hubungan kami dengan para pelanggan dan seterusnya membantu meningkatkan ‘ridership’ untuk perkhidmatan-perkhidmatan Rapid Bus,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kad indentiti itu, di sini hari ini.
Menurut Mohd Azam, di samping pengenalan kad identiti itu, Rapid Bus akan terus memantapkan program Budaya Layanan Cemerlang dalam kalangan kakitangan Rapid Bus khususnya yang bertugas di barisan depan sebagai kapten bas dan pegawal trafik.
“Penekanan akan diberikan untuk memastikan kakitangan kami bekerja dengan memberikan senyuman ketika bertugas, bekerja dengan bersopan santun, berbudi mulia dan ikhlas dalam melaksanakan tanggungjawab mereka,” tambah beliau.
Rapid Bus Sdn. Bhd. merupakan anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad dan di samping mengendalikan operasi perkhidmatan bas henti-henti, Rapid Bus juga bertanggungjawab mengendalikan perkhidmatan bas perantara di stesen-stesen Transit Aliran Ringan dan Transit Aliran Massa; bas percuma Go KL dan SMART Selangor. – BERNAMA