DULUNYA heboh dengan gelombang #Lofattah dan juga #Fatzura menerusi siri drama lakonan Fattah Amin. Sekarang, ada pula adik kecil yang ingin menjadi sepertinya.
Mohammad Reezqi Rayqal yang berumur enam tahun itu sangat meminati Fattah Amin sehinggakan sanggup merayu dengan ibunya untuk pergi ke Kuala Lumpur semata-mata mahu bertemu role modelnya itu.
Menurut ibunya, Wan Hanim Wan Muhammad, 38, Reezqi dikatakan mula meminati Fattah selepas menonton drama Suri Hati Mr Pilot yang disiarkan pada tahun lepas.
“Sudah beberapa kali bawa dia jumpa Fattah ketika pelakon itu ada sesi bertemu peminat, mujur kami ada saudara mara di sini (Kuala Lumpur).
“Dia memang sangat meminati Fattah hingga setiap hari dia tidak pernah terlupa untuk menonton drama lakonan Fattah.
“Lagu Fattah pun dihafal, cuma buku dan novel sahaja dia masih belum pandai membaca,” tambahnya lagi.
Menurut laporan sebuah akhbar, Rayqal akan memanggil mana-mana lelaki yang kacak di matanya sebagai Fattah Amin.
“Kalau berjalan di luar, mana-mana lelaki putih dan kacak dia panggil Fattah, kadang-kadang kami yang terkejut,” ujar ibunya.
Peminat cilik yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan ini turut meminta ibu bapanya memanggil dia dengan nama watak lakonan Fattah Amin.
“Nama dia pula diminta panggil Tengku Ean macam dalam drama Hero Seorang Cinderella,” tambah ibunya lagi.
Yalah dik.. Nak minat tu tak salah tapi jangan sampai terlalu obses ya! – MYNEWSHUB.CC/Aisyah Karim