KOTA BHARU – Sambutan menggalakkan daripada rakyat Kelantan menjadikan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Tunjong di sini sebagai pilihan tempat beli-belah utama sejak enam tahun lalu, menjana pendapatan lumayan kepada lebih 600 peniaga di negeri ini.
Tapak perniagaan yang selesa di bawah ‘satu bumbung’ dengan kadar sewa yang berpatutan memberi kelebihan kepada peniaga untuk mendapatkan pulangan jualan yang berbaloi.
Peniaga ikan air tawar, Norbi Mohamed Nor, 37, dari Kadok di sini berkata dengan kadar sewa yang berpatutan, RM150 sebulan atau hanya RM5 sehari, beliau mampu meraih pendapatan dua kali ganda berbanding berniaga di beberapa pasar tani dan pasar basah lain sebelum ini.
“Seronok berniaga di sini kerana RTC selalu dibanjiri pengunjung terutama pada hujung minggu dan cuti sekolah. Biasanya jualan habis licin pada waktu itu,” katanya kepada Bernama ketika ditemui RTC di sini.
Beliau yang mempunyai tujuh anak berkata pelbagai kemudahan disediakan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan setiap peniaga ikan sepertinya mempunyai empat tong untuk simpanan ikan dan tempat untuk menyiang ikan.
Peniaga rempah ratus, Ayuswani Razali, 49, berkata jumlah pelanggannya semakin meningkat dari setahun ke setahun dan beliau berjaya menjual hampir 200 kilogram rempah ratus sehari.
“Pada hari cuti atau perayaan pula jualan boleh meningkat sehingga tiga kali ganda. Kebanyakan pelanggan biasa akan mengesyorkan kepada pembeli lain untuk mendapatkan pelbagai jenis rempah ratus di sini,” katanya yang tinggal di Pasir Tumboh di sini.
“Perniagaan di RTC adalah sumber rezeki utama keluarga saya terutama selepas suami Mustafa Mohd Said, 60, tidak dapat bekerja sejak tiga tahun lalu akibat penyakit saraf.
“Hasil jualan inilah saya gunakan untuk menampung perbelanjaan harian dan pelajaran anak-anak termasuk kos pelajaran seorang anak saya yang menyambung pelajaran di Universiti Al Azhar, Mesir,” katanya.
Beliau berterima kasih kepada kerajaan khususnya Fama kerana menyediakan tapak perniagaan yang selesa dan mudah untuk dikunjungi orang ramai.
Bagi pengusaha kedai makan, Siti Zubaidah Kamal, 25, dari Ketereh di sini pula berkata pusat jualan tersebut (RTC) yang menyediakan pelbagai jenis barangan basah dan kering menjadi lokasi tumpuan beliau sejak beberapa tahun lalu.
“Banyak pilihan barangan di sini yang dijual pada harga borong yang jauh lebih murah dan menguntungkan. Ia juga menjimatkan masa kerana kami tidak perlu lagi ke pasar lain untuk mendapatkan barangan keperluan kedai makan yang kami usahakan,” katanya.
Tinjauan Bernama mendapati antara tarikan lain ialah kawasan parkir kenderaan yang luas dan percuma, ruang niaga yang bersih dan teratur serta pelbagai kaunter perkhidmatan kerajaan dan swasta seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Pos Malaysia.
Sementara itu, Pengarah Fama Kelantan Ibrahim Mahmood berkata nilai urus niaga di RTC Kelantan tahun lepas ialah RM360 juta dengan kehadiran seramai 4.2 juta pengunjung.
Beliau berkata pihaknya menyasarkan nilai urus niaga akan meningkat kepada RM700 juta pada tahun ini.
“Jumlah peserta (peniaga) akan ditambah kepada 1,000 membabitkan kategori peruncitan, pemborongan, pasar tani dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dalam tempoh tiga tahun akan datang berbanding 625 peserta,” katanya.
RTC Kelantan yang mula beroperasi pada 2011 dan dibangunkan di kawasan seluas 24 hektar itu beroperasi seawal 1 pagi melibatkan kegiatan pemborongan sayur dan buah diikuti 6 hingga 9.30 pagi untuk pemborongan ikan manakala bermula 7 pagi hingga 12 tengah hari ialah bagi aktiviti peruncitan. – BERNAMA