KUALA LUMPUR – Rang Undang-undang (RUU) berhubung perkahwinan dan penceraian yang diluluskan Dewan Rakyat semalam bukan merupakan kekalahan kepada orang Islam seperti dakwaan sesetengah pihak, sebaliknya keadilan kepada orang Islam dan bukan Islam.
Profesor Undang-undang Perbandingan Syariah dan Sivil Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Prof. Datuk Seri Dr Zaleha Kamarudin berkata RUU Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2017 itu merupakan pengharmonian undang-undang syariah dan undang-undang sivil yang memberi keadilan kepada kedua-dua belah pihak (suami-isteri).
“RUU itu mencerminkan kecantikan Islam sebagai agama yang mengambil berat terhadap hal ehwal dan kebajikan umatnya serta orang bukan Islam,” katanya.
Zaleha yang juga rektor universiti itu berkata RUU itu harus dilihat di luar perspektif politik kerana ia adalah untuk menegakkan keadilan dan menyelesaikan pertikaian yang dialami pasangan berlainan agama setelah penceraian berlaku dan masalah itu tidak dapat diselesaikan sejak sekian lama sebelum ini.
“Saya kurang faham kenapa ada pihak-pihak yang menolak dan mengatakan ini kekalahan kepada Islam, sama ada dia tak faham atau tak mahu faham.
“Pada kita seperti juga spirit undang-undang Islam…apabila seseorang itu berkahwin, ambil secara baik, berpisah secara baik. Tunjuk pada saya di mana kekalahan pada orang Islam, ini adalah keadilan pada Islam,” katanya kepada para pemberita ketika mengulas dakwaan tersebut yang tersebar di media sosial.
Tegas Zaleha, kerajaan tidak membuat atau meminda undang-undang secara membuta tuli sebaliknya mengambil kira pandangan pelbagai pihak dalam menjamin keharmonian rakyat berbilang agama di negara ini.
RUU itu bertujuan meminda Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 atau Alta 164.
Pindaan itu bertujuan memberi ruang kepada pasangan yang berkahwin dan telah memeluk agama Islam atau seorang daripada pasangan itu yang masih berada dalam agama Islam untuk memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan di mahkamah sivil.
Ia bagi mengelak tindakan oleh sama ada suami atau isteri yang tidak mahu menamatkan sesuatu perkahwinan tetapi tidak menjalankan tanggungjawab terhadap pasangannya, anak-anak atau harta mereka.
Zaleha berkata ia mampu menyelesaikan pertikaian yang dialami termasuk soal status perkahwinan, penjagaan anak dan harta sekiranya perceraian berlaku dan seorang daripada mereka masih beragama Islam.
“Sebelum ini, ia (keadilan) tidak dapat ditegakkan, ia penuh kontroversi dan mereka yang memeluk Islam tidak menemui penyelesaian kepada perkahwinan mereka,” katanya.
(Sebelum ini, suami atau isteri Islam hanya boleh membawa kes mereka ke mahkamah syariah sahaja setelah bercerai dan pasangan mereka bertukar agama)
Zaleha berkata pindaan itu bukan sahaja memberi ruang kepada pasangan yang telah memeluk Islam menggunakan Mahkamah Sivil untuk membatalkan perkahwinan sivil secara baik tetapi membantu menyelesaikan isu berkaitan anak dan pembahagian harta dengan sempurna.
“Selesaikan dahulu mengenai pasangan (status perkahwinan), baru selesai pasal anak, lepas itu harta, ia akan menjadi lebih mudah. – BERNAMA