SAH cerai talak satu, selebriti masakan terkenal negara, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan kini mendoakan anak perempuannya, Serina Redzuawan agar tabah menghadapi hari-hari mendatang selepas berpisah dengan bekas suami, Salahuddin Ghaffar atau Gavin Edward O’Luanaigh.
Pada masa sama Chef Wan bersyukur apabila Serina akhirnya dapat menuntut cerai daripada ahli korporat terbabit.
“Alhamdulillah, pagi ini Serina dapat tuntut cerai daripada Gavin di mahkamah. Mahkamah memutuskan soal nafkah yang dituntut berpihak kepadanya.
“Seterusnya nanti adalah soal penjagaan anak dan segala tuntutan nafkah serta mata pencarian pula. Saya harap dan mahu pastikan keadilan akan diberikan kepada anak saya,” tulis Chef Wan di Instagramnya, hari ini.
Chef Wan juga sempat berpesan agar golongan isteri diberikan layanan yang baik.
“Sudah tiba masanya untuk kita anjak ke hadapan dan tutup buku lama dalam hidup ini. Wanita sebagai isteri patut dilayan dengan baik dan dihormati seperti kita melayan ibu sendiri. Lagipun, mereka inilah ibu kepada anak kita,” katanya lagi.
Sementara itu, para peminat Chef Wan turut membanjiri ruangan komen dengan memberi kata-kata semangat kepadanya dan juga Serina.
Serina sah bercerai talak satu dengan Salahuddin di Mahkamah Rendah Daerah Petaling, pagi ini. Pasangan berkenaan berkahwin pada 1 Januari 2010.
Lafaz cerai dilakukan Gavin di hadapan Hakim Syarie, Nurul Hidayah Jani, kira kira jam 10.49 pagi.
Serina, 34, memfailkan permohonan cerai itu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 menerusi peguam syarie, Zulkifli Che Yong.
Menerusi perkahwinan yang dibina, pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata, Tristan Tareef, 7, serta Isabella Saffiya, 5. –MYNEWSHUB.CC