MESKIPUN mendapat tentangan hebat ramai peminat K-Drama, ternyata rezeki menyebelahi Fattah Amin kerana dia kini mengesahkan bakal menerajui drama bersiri Coffee Prince arahan Micheal Ang.
Coffee Prince versi Malaysia itu merupakan adaptasi drama bersiri Korea Selatan dengan nama yang sama dan mempunyai ramai pengikut setia di negara ini.
Bantahan dan kecaman yang diterima tidak menjadi kudis bagi Micheal untuk mengambil Fattah menjadi hero buat ke sekian kalinya. Malah, penggambaran drama arahan Michael Ang itu sudah pun dimulakan hari ini.
Drama ini bakal menyaksikan aktor terbabit bergandingan dengan seorang lagi bintang sensasi, Janna Nick.
Dalam pada itu, Fattah menganggap peluang berlakon dalam drama terbabit menjadi ruang terbaik untuknya mengukuhkan lagi nama beliau dalam bidang seni hiburan tanah air.
“Pertama sekali saya bersyukur atas rezeki ini dan kepercayaan diberikan oleh pihak Astro serta produksi apabila mereka memilih saya sebagai teraju utama drama ini.
“Sejujurnya, saya tidak pernah menganggap segala apa yang berlaku sebelum ini, termasuk bantahan dan kritikan yang diberikan sesetengah peminat, sebagai sesuatu yang negatif. Sebaliknya, saya melihat semua itu dari sudut yang positif dan menjadikannya medan bagi mencabar diri.
“Segala cabaran berkenaan pastinya membuatkan saya ingin berusaha memajukan diri dan bekerja dengan lebih keras lagi. Saya mahu memastikan mereka yang memandang negatif pada saya selama ini terus suka dengan watak yang saya lakonkan itu,” katanya kepada BHOnline.
Ditanya mengenai gandingan julung kali dirinya dengan Janna, Fattah mengaku tiada masalah untuknya berlakon bersama aktres berbakat itu.
“Sebelum ini kami pernah bekerjasama, biarpun bukan di kaca TV. Saya berharap gandingan kami dalam naskhah ini akan diterima baik oleh peminat saya dan penggemar drama tempatan.
“Doakan semuanya berjalan lancar seperti yang dirancang,” kata pelakon yang mencipta populariti dengan drama Hero Seorang Cinderella dan Suri Hati Mr Pilot itu.-MYNEWSHUB.CC