NILAI – Pelumba elit berbasikal negara Ju Pha Som Net berikrar untuk meraih emas acara trek Omnium selepas menyumbang dua perak kepada kem negara menerusi acara lebuh raya iaitu Kriterium Wanita dan Lepas Beramai-Ramai Individu Wanita pada Sukan Sea ke-29 Kuala Lumpur (KL2017).
Ju Pha, 24, berkata walaupun melalui proses latihan yang singkat kira-kira tiga bulan selepas beliau menamatkan latihan rekrut polis pada Mei lepas, kejayaannya meraih pingat untuk Malaysia suatu yang membanggakan meskipun amat berhajat kepada kilauan emas.
“Saya memang sasar emas (acara Lepas Beramai-Ramai Individu Wanita hari ini) dan memang dah sehabis mungkin saya bagi (berusaha), (akhirnya) dapat perak juga. Tapi tak apalah, saya ada masa tiga hari untuk fokus kepada acara omnium.
“27 haribulan ini saya akan buktikan memang saya target emas dekat trek (dan) akan dapatkan satu pingat emas untuk acara terakhir saya,”katanya kepada pemberita di sini, hari ini selepas upacara kalungan pingat yang disempurnakan oleh Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Abu Samah Abdul Wahab di Dataran Nilai, di sini.
Anak kelahiran Perlis itu berkata beliau amat berpuas hati dengan pencapaiannya bagi dua acara lebuh raya, meskipun merasakan latihan yang dijalaninya sebelum menyertai temasya dwitahunan itu belum mencukupi.
“Dalam acara lebuh raya ini, saya berpuas hati sebab saya pun memang tak cukup latihan dan daya tahan, masa berlumba pun saya merasakan kaki kejang tapi saya tetap fokus dan banyak minum air. Selepas itu hilanglah kejang itu. Saya agak gembira dapat perak.
“Sudah enam bulan berhenti (kayuh) basikal (dan) lepas itu nak mula balik dari zero sampai hari ini… nak dapat dua pingat ini susah (sebenarnya) pada saya yang jalani latihan dalam masa singkat. Ini yang saya mampu untuk acara lebuh raya tapi dalam trek, saya percaya boleh dapat emas,”katanya.
Pada acara Lepas Beramai-Ramai Individu Wanita, Ju Pha meraih perak, emas milik juara bertahan Nguyen Thi That daripada Vietnam dan gangsa milik Priatna Ayustina Delia daripada Indonesia.
Ketiga-tiga mereka merekodkan masa yang sama iaitu 3:14:16s dan keputusan ditentukan secara ‘photo-finish”.
Pada acara yang melibatkan jarak sejauh 101.5 kilometer itu, seramai 13 peserta mengambil bahagian acara Lepas Beramai-Ramai Individu Wanita daripada negara peserta Vietnam, Malaysia, Thailand, Filipina, Indonesia, Kemboja dan Singapura.
Untuk rekod, kali terakhir Malaysia meraih emas dalam acara Lepas Beramai- Ramai Individu Wanita adalah pada temasya Sukan Sea 2005, di Manila, Filipina menerusi Nor Azian Alias.
Pada edisi ke-28 di Singapura pada 2015, Thi That meraih pingat emas acara berkenaan dan pelumba negara Nurul Shuhada Zainal menghadiahkan gangsa kepada kem negara manakala Ju Pha sekadar meraih tempat ke-12, selepas terlibat kemalangan ketika perlumbaan. – BERNAMA