KUALA LUMPUR – Sistem kawalan ruang udara yang dikendalikan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) perlu diinaik taraf untuk mengurus aliran trafik udara agar lebih selamat dan efisien bagi menangani kesesakan yang mungkin berlaku pada masa akan datang, kata Panglima Tentera Udara Jeneral Datuk Seri Affendi Buang.
Beliau berkata aliran trafik di ruang udara negara dijangka bertambah dan menjadi lebih sesak dalam tempoh 10 tahun akan datang berikutan peningkatan jumlah penerbangan di beberapa negara di rantau ini.
“Saya boleh bayangkan dalam masa 10 tahun akan datang ruang udara kita akan sesak, seperti yang berlaku di Amerika Syarikat dan Eropah sekarang, sangat sesak, hingga memerlukan peraturan lalu lintas udara yang lebih ketat.
“Oleh yang demikian sistem sedia ada kita (TUDM) untuk kawal ruang udara ini mesti dinaik taraf supaya dapat memberi satu peraturan atau laluan pengurusan udara yang selamat dan efisien,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50D) peringkat markas tentera udara di Pangkalan Udara Kuala Lumpur di sini hari ini.
Berhubung harapannya berkaitan TN50D beliau mahu tahap profesionalisme TUDM dipertingkat dalam konteks keupayaan sumber manusia dan kebajikan.
“Yang penting supaya anggota jadi lebih komited, bermotivasi tinggi dan menjadi masyarakat penyayang,” katanya.
Terdahulu, Affendi pada majlis dialog itu berkata TN50D adalah usaha baik untuk membentuk masa depan Malaysia yang lebih terjamin dalam tempoh 30 tahun akan datang yang turut meliputi aspek pertahanan negara.
Beliau berkata TN50D turut melengkapkan tumpuan lima teras utama Kementerian Pertahanan yang diperkenalkan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein iaitu kesiapsiagaan aset ATM dan keselamatan negara.
Tiga teras utama lain adalah kebajikan anggota dan veteran serta diplomasi pertahanan dan transformasi Pusat Latihan Khidmat Negara.
Majlis dialog itu dihadiri kira-kira 500 pegawai dan anggota TUDM dan akan diteruskan di pangkalan-pangkalan udara lain di seluruh negara. – BERNAMA