NAMA Siti Nordiana semakin ‘hangat’ apabila menjuarai program realiti Gegar Vaganza dua tahun lalu. Kini, namanya sering disebut-sebut apabila bergandingan dengan Fikry Ibrahim, pendatang baru industri hiburan tanah air.
Jika sesiapa yang mengikuti perkembangan penyanyi yang mesra disapa Nana ini, mesti anda sudah tahu yang sekarang ini penyanyi Terus Mencintai sedang sibuk menjalani pengambaran untuk telemovie Cakelat Semanis Honey bersama Fikry Ibrahim.
Watak di dalam telemovie ini memerlukan dia bergandingan bersama Fikry sebagai pasangan kekasih dan disebabkan itu dia berasa kekok menjadi ‘kekasih’ Fikry walaupun pernah bergandingan sepentas mengacarakan program Gema Gegar Vaganza.
“Pada awalnya memang saya berasa kekok untuk berlakon sebagai pasangan kekasih bersama dengan Fikry kerana perbezaan usia di antara kami.
“Saya dan Fikry dah macam kakak dan adik, tapi apabila berada di set penggambaran, kami terpaksa menggunakan gelaran ‘awak’ dan ‘saya’.
“Kadang-kadang saya rasa macam nak muntah pun ada apabila perlu melakonkan babak yang romantik bersama Fikry memandangkan watak kami sebagai pasangan kekasih.
“Namun lama-lama perkara itu dah jadi biasa dan kami juga sudah mendapat keserasian untuk membawa watak yang diberikan dengan baik,” katanya dipetik laporan Astro Awani.
Mengulas tentang kenyataan itu, Nana telah memuatnaik satu posting di laman Instagramnya tentang kenyataan yang diberikan.
Menurutnya, hubungan kakak dengan adik yang terjalin dari mengacarakan Gema Gegar Vaganza itu menyebabkan mereka berasa awkward untuk membahasakan diri dengan panggilan ‘saya awak’.
Dia juga menyatakan yang dia dan Fikry akan didenda dekat set jika dia terpanggil Fikry ‘kau’ dan Fikry membahasakan dia ‘akak’.
Tak kisahlah dengan panggilan apa pun, janji kedua-duanya boleh bersikap professional dan memberikan yang terbaik dalam telemovie ini. – MYNEWSHUB.CC/Aisyah Karim