SIAPA tak kenal dengan pasangan yang baharu sahaja beberapa bulan lepas melangsungkan majlis persandingan walaupun sudah enam tahun menikah. Ya, Shuib dan Sarah. Pasangan yang orang kata sama cantik sama padan.
Baru-baru ini melalui satu posting di akaun Instagram peribadi miliknya, Siti Sarah Raissuddin atau lebih dikenali dengan Sarah Raissuddin telah melahirkan rasa syukurnya dikurniakan seorang suami sebaik Shuib.
Dalam post berkenaan, Sarah turut mengimbau detik-detik bersama sebelum dia mendirikan rumah tangga bersama Shuib. Katanya, dia turut risau apabila Shuib tidak mempunyai kerja yang agak stabil pada ketika itu dan bersyukur kerana suaminya itu rajin mengusahakan sesuatu untuk mencari rezeki.
Walaupun ramai mempersoalkan keputusannya untuk disatukan dengan Shuib sehinggakan ada mulut-mulut yang mengatakan Sarah diguna-gunakan, Sarah hanya diam dan berkata dalam hati bahawa dia lebih mengenali Shuib berbanding orang lain.
Gambar yang dimuat naik itu juga turut mendapat respons daripada para peminat yang rata-ratanya memberi pujian dan mendoakan pasangan susah senang bersama ini hidup bahagia selamanya.
Ibu kepada tiga orang cahaya mata ini turut mendoakan tali perkahwinan mereka diberkati, dirahmati dan dipermudahkan dan berterima kasih kepada yang mendoakan mereka sekeluarga sejak enam tahun lalu.
Februari lalu, buat pertama kalinya pasangan comel ini disandingkan setelah bernikah pada 26 Februari 2011. Majlis yang diraikan di Bora Ombak Marina Putrajaya itu dikatakan hadiah ulangtahun keenam buat Sarah daripada Shuib.
Sweet sungguh Sarah buat appreciation post untuk Shuib. Semoga pasangan ini live happily ever after hendaknya. – MYNEWSHUB.CC/Aisyah Karim