PETALING JAYA – Skuad bola sepak wanita kebangsaan tekad mencatat kemenangan ke atas Singapura pada perlawanan persahabatan antarabangsa kelas ‘A’ di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM) malam esok.
Pengendali skuad kebangsaan, Mohd Asyraaf Fong Abdullah percaya kemenangan tersebut dapat menyuntik semangat anak buahnya menjelang aksi pembukaan acara bola sepak wanita Sukan SEA ke-29 (KL2017) menentang Filipina pada Selasa depan.
“Peluang menentang Singapura ini sudah semestinya saya mahukan kemenangan supaya ia akan memberikan satu semangat kepada pasukan sebelum kita turun beraksi pada 15 Ogos ini.
“Jadi saya telah memaklumkan kepada para pemain bahawa perlawanan ini adalah sesuatu yang mesti kita menang untuk memberikan kita keyakinan dan juga kekuatan mental untuk menghadapi Sukan SEA,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media praperlawanan tersebut di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di sini, hari ini.
Asyraaf seterusnya berkata kegagalan mengekalkan tumpuan sepanjang 90 minit perlawanan merupakan faktor utama kekalahan 0-2 skuad bimbingannya itu kepada India minggu lepas.
Namun beliau menjelaskan selepas membuat penilaian terhadap perlawanan tersebut, beberapa perubahan terhadap corak permainan serta formasi bakal dilakukan ketika melayani kunjungan negara Kota Singa itu.
“Para pemain mudah hilang fokus apabila setiap kali memasuki minit ke-70 perlawanan dan pada perlawanan menentang India, mereka berjaya menghidu kelemahan tersebut seterusnya bijak mengambil peluang untuk mengatasi kita.
“Tetapi saya tetap akan menggalakan para pemain untuk menggandakan serangan dan dalam masa yang sama menuntut supaya mereka membantu barisan pertahanan ketika bertahan,” tambah beliau.
Dalam pada itu, kapten pasukan Masturah Majid ketika mengulas mengenai kekalahan kepada India berkata, rakan sepasukannya kini lebih matang dan berazam untuk mempersembahan aksi terbaik pada perlawanan malam esok. -BERNAMA