MALAM ini bakal berlangsungnya perlawanan bersejarah sepanjang Sukan SEA 2017 iaitu bagi merebut ‘ibu segala pingat’ dalam acara bola sepak, Malaysia menentang Thailand.
Kali terakhir skuad Malaysia memenangi emas bagi perlawanan bola sepak adalah ketika Sukan SEA 2011 yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno selepas menewaskan pasukan Garuda dengan jaringan gol 4-3.
‘Gajah Perang’ (gelaran skuad Thailand) merupakan skuad yang banyak melakarkan nama dalam sejarah Sukan SEA sebagai pasukan bola sepak yang paling banyak meraih pingat emas iaitu sebanyak 15 kali sejak acara ini diperkenalkan pada 1959.
Pada perlawanan final kali ini, Skuad Harimau Muda ini bakal bertemu dengan Skuad ‘Gajah Perang’ bagi merebut ‘ibu segala pingat emas’.
Ekoran itu, terdapat beberapa orang pemain ‘lama’ skuad kebangsaan yang pernah mengharumkan nama negara suatu ketika dulu dilihat memberi sokongan penuh buat semua anak didik Datuk Ong Kim Swee.
Penjaga gawang No.1 Skuad Harimau Malaya, Khairul Fahmi Che Mat memberi sokongan penuh dan meletakkan harapan yang tinggi agar pasukan Malaysia berjaya merebut taktha emas daripada genggaman Thailand.
“Okay untuk Skuad SEA game. Aku nak wish good luck. Dapatkan ibu emas untuk SEA game kali ini. Bermain mati-matian untuk negara kita dan enjoy the game,“ katanya.
Dalam pada itu, dia dilihat sempat juga mengusik salah seorang pemain skuad Malaysia, Thanabalan Nadarajah yang baru-baru ini berjaya menghadiahkan ‘tandukan emas’ pada minit-minit terakhir ketika menentang Garuda, sekali gus telah membawa Malaysia layak untuk final.
“My favourite player, Thanabalan. Belanja aku satu gol. Goodluck!,” seloroh Fahmi.
Selain Fahmi, kapten skuad emas 2011, Baddrol Bakhtiar juga dilihat turut memberi kata-kata semangat buat team Malaysia.
“Saya Baddrol bin Bakhtiar. Pemain bola sepak pasukan Kedah dan Kebangsaan mengucapkan tahniah untuk pasukan SEA Game tahun ni layak ke final dan mengharapkan sekali lagi, pingat emas, ‘ibu segala pingat’ SEA Game pada tahun ini dikembalikan di Malaysia,” ujar Baddrol.
Tidak ketinggalan juga pesanan padu daripada bekas penyerang negara, Akmal Rizal yang juga merupakan salah seorang skuad bola sepak Sukan SEA 2001 buat pemain yang bakal beraksi final malam ini.
“Saya berharap pada tahun ini mereka mampu untuk memenangi pingat emas seterusnya memberi kejayaan buat pasukan Malaysia.
“Lakukan yang terbaik untuk diri anda sendiri, keluarga dan orang-orang tersayang yang banyak memberi sokongan serta dorongan kepada karier anda selama ini,” pesan Akmal.
Stadium Shah Alam bakal menjadi saksi pertembungan dua skuad hebat ini pada jam 8.45 malam, hari ini.
Bagi mereka yang gagal mendapatkan tiket, jangan kecewa kerana anda masih mempunyai peranan sebagai ‘pemain ke-12’ yang memberi sokongan ketika menonton di televisyen.
Seluruh rakyat Malaysia perlu terus memberi sokongan padu kepada skuad Harimau Muda! Ayuh, bangkit bersama! – MYNEWSHUB.CC/AmyMaizura