“MENGAPA Aung San Suu Kyi mendiamkan diri?”
Mendengar soalan itu, wartawan senior serta penyokong kuat Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) pimpinan Suu Kyi menggeleng kepala.
“Suu Kyi tidak berkuasa sepenuhnya. Myanmar masih negara junta tentera. Kalau Suu Kyi menentang dasar tentera, kerajaan demokratik akan tumbang. Junta akan kembali merampas kuasa,” kata Mohammad Isa, wartawan Muslim keturunan Myan.
Menurut Mohammad Isa yang berjuang menyokong Suu Kyi dan dipenjara Junta Tentera pada 2002 hingga 2009, isu anti Rohingya isu yang berlarutan sejak sekian lama.
“Junta Tentera dan sami Buddha memang bekerjasama menentang Muslim Rohingya. Ia isu lama yang akan berterusan sampai mereka berjaya menghalau semua etnik Rohingya keluar dari Myanmar,” katanya.
Mohammad Isa kini berada di Mekah dalam perjalanan menunaikan ibadah haji. Walaupun berbeza keturunan, bekas aktivis pelajar ini, tetap berjuang membela Muslim Myanmar atas dasar persaudaraan Islam dan kemanusiaan.
“Kedudukan demokrasi di Myanmar rapuh. Junta Tentera masih menguasai banyak agenda. Serangan ke atas Rakhine tiada kaitan dengan Suu Kyi atau NLD. Itu agenda junta dan sami Buddha,” katanya.
Dalam serangan terbaharu 25 Ogos lalu, Tentera Myanmar menyerang 13 perkampungan Muslim di Utara Rakhine. Kawasan itu telah dikepung sejak Oktober tahun lalu.
Alasan serangan mudah, Junta Tentera menuduh pejuang Rohingya menyerang pos polis. Setakat ini dilaporkan lebih 80 penduduk Rohingya terbunuh. Manakala, Junta Tentera mengesahkan 12 anggota keselamatan terbunuh.
Perlembagaan Myanmar tidak mengikhtiraf etnik Rohingya sebagai warganegara. Junta Tentera beranggapan penduduk Rohingya adalah pendatang Benggali dari Bangladesh.
Tanpa status warganegara, 1.1 juta penduduk Rohingya tidak layak mengundi, bersekolah, bekerja dan dianggap pendatang haram.
Sejarah membuktikan penduduk Rohingya berada di Rakhine sejak abad ke 15. Malah, wujud kesultanan Rakhine sebelum pendudukan British pada abad ke 19.
Menurut Mohammad Isa, tanpa campur tangan PBB, isu Rohingya tidak akan berakhir. Malah, junta akan terus membangkitkan semangat anti Islam di kalangan penganut Buddha yang menjadi majoriti rakyat Myanmar.
“Ia memang pelan penghapusan etnik. Itu pasti dan junta akan meneruskannya. Tidak guna mengkritik Suu Kyi. Dia tidak mampu mengubah perlembagaan tentera. Menentang junta akan mengakibatkan rampasan kuasa dan NLD akan kembali ke jalanan semula,” kata Mohammad Isa.
Sejak 2012, lebih 1000 penduduk Myanmar mati dibunuh. Kanak-kanak dan wanita diperkosa.
PBB mengkritik tindakan Kerajaan Myanmar dan menganggap serangan terhadap Rakhine sejak lima tahun lalu sebagai jenayah penghapusan etnik. – MYNEWSHUB.CC