JOHOR BAHRU – Hujan renyai-renyai mengiringi keheningan suasana pilu yang menyelubungi upacara pengebumian Bapa Bola Sepak Johor, Allahyarham Datuk Suleiman Mohd Noor yang meninggal dunia malam tadi.
Jenazah Allahyarham tiba di perkarangan Tanah Perkuburan Islam Taman Mount Austin Johor Bahru pada 11 pagi tadi dan selamat dikebumikan setengah jam kemudian.
Pengebumian bekas Setiausaha Kerajaan Negeri itu turut dihadiri lebih 200 anggota keluarga terdekat dan sahabat handai.
Anak perempuan Allahyarham, Norliza Suleiman, 52, berkata ayahnya seorang yang mempunyai semangat juang yang kental, baik dari segi pekerjaan yang dilakukan mahupun dalam kehidupan hariannya.
“Ayah saya mula mendapat rawatan di Hospital KPJ Puteri pada minggu kedua puasa tahun ini selepas mengalami kegagalan buah pinggang, bermula dari situ keadaan (kesihatan) dia mula perlahan tetapi tetap bersemangat ketika bergurau bersama anak dan cucu.
“Masa ditahan di ICU (Unit Rawatan Rapi), doktor yang merawatnya pada masa itu menjangkakan beliau hanya mempunyai masa 48 jam untuk hidup dengan keadaannya tetapi alhamdulillah beliau masih mampu bertahan sehingga semalam.
“Masa ayah kerja dan memimpin persatuan bola sepak dahulu, ayah memang sangat fokus dan mendalami apa yang beliau kerjakan, bila ada rasa tidak puas hati dengan bola ayah akan simpan dan kawal perasaan marah, tetapi kalau ada pasukan bola yang menang ayah akan buat makan-makan di rumah,” jelasnya.
Tambah Norliza, keadaan ayahnya kembali pulih menjelang hari raya dan sering kali mendapat lawatan daripada pemain-pemain bola sepak veteran dan baharu.
Katanya lagi, kali terakhir dia berjumpa ayahnya adalah pada petang semalam selepas menghantar ayahnya ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
“Petang semalam ayah berhasrat ke hospital untuk membuat pemeriksaan, kalau ada rasa sakit memang ayah akan pergi hospital. Jadi suami saya hantar ayah ke hospital, saya pula ketika itu dalam perjalanan balik ke Kuala Lumpur.
“Lepas buat pemeriksaan itu suami saya maklumkan keadaan ayah masih baik cuma yang terkejut bila dapat berita keadaan ayah selepas maghrib,” jelasnya.
Dalam pada itu, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Ayub Mion yang juga rakan karib kepada Allahyarham berkata Suleiman merupakan seorang pemimpin yang baik dan berpandangan jauh.
“Saya kenal Allahyarham pada tahun 1970 dan ketika itu saya baru sahaja menyertai Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Johor dan beliau pula menjawat jawatan Timbalan Pesuruhjaya Tanah.
“Pada masa yang sama, beliau juga aktif dalam persatuan-persatuan sukan seperti bola sepak, lumba basikal dan hoki. Alhamdulillah, di bawah pimpinan Allahyarham, ketiga-tiga sukan ini cemerlang hingga ke peringkat kebangsaan di bawah naungannya,” jelasnya.
Tambahnya lagi, Allahyarham juga merupakan seorang pemimpin yang menyayangi dan mementingkan kebajikan anak buahnya.
Pada tahun 1991, skuad bola sepak Johor menjadi pasukan pertama yang mendapat gelaran berganda setelah memenangi Piala Malaysia dan Juara Liga di bawah pengurusan Allahyarham Suleiman.
Suleiman, 88, meninggal dunia di Hospital Pakar KPJ malam tadi ketika menerima rawatan dialisis di hospital berkenaan. – BERNAMA